Skip to main content
x

Balu guru terima sumbangan RM28,000

PUTRAJAYA - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyampaikan sumbangan kebajikan kepada waris Allahyarham Mohd Nazeri Zakaria, 42, guru yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 30 Mei lalu.

Sumbangan sebanyak RM28,000 itu disampaikan Pengerusi YGMB, Aminudin Adam kepada isteri Allahyarham, Syukartinie Awang, 39, selepas Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Kali Pertama Tahun 2019 di Palm Golden Hotel di sini semalam. Selain waris Mohd Nazeri, YGMB turut menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris dua lagi guru iaitu mendiang Parimala Muniandy, 35, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 27 Jun lalu dan Allahyarham Khairuddin Md Yusof, 55, yang meninggal akibat sakit jantung pada 1 Ogos lalu.

Sumbangan itu diterima ibu kepada mendiang Parimala, Pathmavathy manakala Allahyarham Khairuddin diwakili anaknya, Muhd Afiq dan masing-masing menerima sumbangan YGMB berjumlah RM8,000. Dalam pada itu, dua lagi penerima juga merupakan ahli YGMB menerima sumbangan kemasukan ke institusi pengajian tinggi berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Aminudin ketika ditemui pemberita berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB telah membelanjakan hampir RM17 juta bagi membiayai sumbangan kebajikan menerusi pelbagai kategori manfaat yang ditawarkan kepada ahli. "YGMB akan sentiasa komited untuk meneruskan agenda memelihara kebajikan warga pendidik mengikut perkembangan semasa. "Terbaru, YGMB turut menyediakan kos bantuan guaman sehingga RM30,000 bagi guru-guru yang berhadapan dengan tindakan undang-undang semasa berkhidmat.

"Manfaat ini diyakini mampu meringankan beban guru yang terlibat selain daripada sokongan moral yang diberikan kepada mereka," katanya selepas menyerahkan sumbangan berkenaan. Hadir sama, Timbalan Pengerusi YGBM, Datuk Abdul Raof Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat. Beliau dalam pada itu menyeru lebih ramai guru menjadi ahli YGMB bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga masing-masing terbela terutama apabila ditimpa musibah. “Setakat ini kita ada kira-kira 450,000 guru di seluruh negara. Kita sasar untuk mendapatkan keahlian sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu iaitu sekitar 200,000 guru pada akhir tahun depan,” katanya. 

Sementara itu, Syukartinie mengucapkan terima kasih kepada YGMB dan menyifatkan sumbangan tersebut dapat meringankan bebannya yang kini membesarkan enam orang anak yang masih kecil. “Arwah suami amat mementingkan pendidikan anak-anak, jadi saya bercadang mahu menyimpan wang sumbangan YGMB dalam tabung pendidikan anak-anak kami yang berusia antara 3 hingga 16 tahun,” katanya yang juga seorang guru. Dalam kejadian jam 8 pagi, 30 Mei lalu, Allahyarham Mohd Nazeri terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak untuk mengambil salah seorang anaknya yang tinggal di asrama.

Sumber : Sinar Harian