Blogs

MoU Pembangunan Hartanah antara YGMB dan UPSB

SINTOK, 14 September 2015 – Hasrat dan impian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk menubuhkan Hotel YGMB bakal terlaksana apabila Perjanjian Persefahaman (MOU) antara YGMB dan Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) telah secara rasminya dimeterai pada 14 September 2015 yang lalu.

Majlis yang telah diadakan di EDC-UUM Hotel itu turut disaksikan oleh YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia dan Penanung YGMB serta dihadiri oleh YB Dato’ Haji Tajul Urus Haji Mat Zin, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Mohd Dom, Pengerusi YGMB dan YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Uniutama Management Holdings Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengarah Uniutama Property Sdn. Bhd. dan Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB.

Permeteraian MOU ini merupakan satu langkah permulaan bagi YGMB maju setapak ke hadapan dalam menceburi bidang hospitaliti dan sektor hartanah yang baharu bagi memajukan Lot 1862, tanah milik Kementerian Pendidikan Malaysia seluas 1.48 ekar di Chow Kit, Kuala Lumpur bagi merealisasikan aspirasi menubuhkan Hotel Guru milik YGMB.

Melalui pemeteraian MOU ini juga, UPSB akan membangunkan sebuah lagi bangunan Sekolah Perniagaan Siswazah UUM, Fakulti Othman Yeop Abdullah (OYA) di Kampus UUM Kuala Lumpur.

Menurut Tan Sri Alimuddin, “YGMB akan sentiasa mengadakan pelbagai bentuk usahasama strategik dengan badan-badan korporat, agensi kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan yang selama ini memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak kami dalam melaksanakan program-program berteraskan ekonomi. Kejayaan pembangunan hartanah ini pastinya akan memberi impak yang sangat positif kepada warga pendidik dan juga institusi pendidikan tinggi (IPT) awam negara”.

Dalam majlis MOU tersebut, YGMB telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya YBhg. Dato’ Wan Munadi Wan Mamat manakala UPSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, En. Suardi Mohamed Zakaria.

  • Title: MoU Pembangunan Hartanah antara YGMB dan UPSB
  • Posted by:
  • Date: 2:26 PM
  • Tags:
Top