Skip to main content
x

GURU SRA DAN KAFA TERUJA DITERIMA AHLI

WILAYAH PERSEKUTUAN, 14 Jun 2016 - Tanpa ragu-ragu lagi, seorang guru Sekolah Rendah Agama (SRA), Siti Shuad Abdullah, 27, terus mengisi borang menjadi ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Bagi ibu kepada dua orang anak kecil bertugas di SRA Mustaqimah di Bandar Tun Razak, Cheras itu, tidak rugi menjadi ahli yayasan itu yang manfaat diperoleh oleh guru begitu berganda.

“Ramai guru telah menyertai YGMB dan mendapat faedah yang setimpal. Walaupun saya baru sahaja menjadi ahli bermula bulan Jun lalu, saya yakin yayasan ini berupaya menawarkan skim kebajikan yang bermanfaat untuk golongan guru.

“Terima kasih kepada YGMB kerana membuka penyertaan keahlian kepada guru-guru SRA seperti kami,” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Seorang lagi guru dari SRA Al-Najah, Presint 9 Putrajaya, Siti Hawa Mohd. Sidin, 28, memberitahu, adalah suatu kerugian jika guru muda tidak menyertai YGMB.

“Antara manfaatnya, kami boleh mendapat intensif melanjutkan pelajaran bagi pembayaran pendaftaran sekiranya menyambung pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya.

Pada 14 Jun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UniSZA bagi memberi peluang kepada guru jabatan itu melanjutkan pengajian di universiti.

Program berkenaan bakal memanfaatkan kira-kira 1,300 guru SRA serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang kini dapat melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Sekolah Rendah) dengan kepujian dalam tempoh empat tahun.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA ialah Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang juga Pengerusi YGMB.

YGMB menawarkan sebanyak 16 manfaat bernilai RM70,000 dengan bayaran bulanan serendah RM10 sebulan yang tidak terdapat dalam skim-skim yang ditawarkan oleh mana-mana pihak.