Skip to main content
x

GURU TERBABIT KEMALANGAN TERIMA MANFAAT AHLI YGMB

KUCHING - Seorang guru wanita yang menjadi mangsa kemalangan akibat dirempuh sebuah lori pada Ogos tahun lalu bersyukur dan terharu apabila menerima manfaat sebagai ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Daisy Fruelin Nicholas Anyut yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak berkata, bantuan sebanyak RM10,000 yang diterimanya sedikit sebanyak dapat menampung kos rawatan susulan akibat kemalangan tersebut.

"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sumbangan YGMB sekurang-kurangnya dapat menampung kos rawatan susulan yang masih perlu dijalani lagi akibat impak kemalangan tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Menceritakan semula kejadian tersebut, katanya, pada 4 Ogos tahun lalu itu beliau yang sedang memandu Perodua Alza bersama anaknya dirempuh oleh sebuah lori seberat 10 tan dari arah belakang ketika hendak membelok masuk ke simpang rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Kuching.

Katanya, akibat kemalangan itu kereta yang dipandunya terbabas lebih 200 meter ke dalam kawasan semak.

"Akibat kemalangan tersebut saya terpaksa melalui pembedahan di bahagian kepala dan menerima sebanyak 12 jahitan manakala anak saya yang berumur 8 tahun pula menerima sebanyak tiga jahitan di bahagian sama. Perodua Alza saya pula berstatus 'total loss' (rosak teruk)," katanya yang telah berkhidmat selama 16 tahun sebagai guru.

Sementara itu, beliau turut menyeru guru untuk menyertai YGMB yang dapat membantu dalam meringankan beban ditanggung terutamanya apabila terbabit dalam kejadian tidak diingini.

Malah, katanya, proses untuk menjadi ahli YGMB juga sangat mudah, cepat dan mesra guru.

"Sepanjang saya meyertai YGMB saya baru membayar lebih kurang RM180 dari bulan pertama sehingga sekarang tetapi pampasan yang diterima sangat tinggi nilainya dan paling penting ia membantu meringankan kos perubatan. Sesiapa yang tidak menyertai YGMB sangat rugi," katanya.