Skip to main content
x

GURU TERIMA 18 MANFAAT JADI AHLI YGMB

KUCHING - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus komited untuk membantu dan menjaga kebajikan guru menerusi pelbagai insentif yang disediakan seiring dengan keperluan semasa warga pendidik pada masa kini.

Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam berkata, sejak ditubuhkan dua dekad lalu yayasan tersebut telah menyediakan pelbagai manfaat kepada golongan pendidik seperti khairat kematian, insentif pendidikan, melahirkan anak dan bencana.

Beliau berkata, skim tersebut juga sentiasa diperkemas bagi memastikan setiap ahlinya mendapat manfaat sebanyak mungkin.

"Sehingga kini jumlah keahlian YGMB ialah kira-kira 100,000 orang, kita menyasarkan untuk menambah keahlian sehingga 200,000 guru dalam masa terdekat ini.

"Berdasarkan rekod terdapat kira-kira 430,000 guru di seluruh negara dan sebanyak 258,000 guru merupakan guru muda yang berusia di bawah 40 tahun," katanya.

Kata beliau, sasaran YGMB untuk menarik sebanyak mungkin penyertaan guru muda yang berada di seluruh negara bagi menyertai yayasan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Guru Muda Malaysia Sarawak Zon Selatan baru-baru ini.

Menurut Aminuddin lagi, sehingga kini YGMB menawarkan sebanyak 18 manfaat kebajikan kepada golongan pendidik termasuk yang terbaharu iaitu kos bantuan guaman maksimum RM30,000 kepada guru.

Selain itu, katanya, insentif kebajikan lain adalah elaun hospital, penyakit kritikal, ragut, kemalangan jalan raya, sagu hati mengerjakan haji, hadiah persaraan, kelahiran anak dan hadiah perkahwinan.

Beliau berkata, antara sumbangan dan kebajikan kepada ahli baharu adalah khairat kematian iaitu RM27,000 dan RM52,000 untuk kemalangan, manakala khairat kematian pasangan berjumlah RM2,000 dan anak-anak (maksimum tiga orang berumur 18 tahun ke bawah) sebanyak RM1,000.

Ujarnya, penyediaan pelbagai insentif tersebut adalah selaras dengan matlamat penubuhan yayasan bagi membela dan menjaga kebajikan guru.

"Program yang dianjurkan YGMB turut mendapat restu daripada Kementerian Pendidikan terutamanya oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin yang memberi sokongan kepada kita untuk bergerak lebih aktif.

"Bagi tahun ini pelbagai program telah dirangka dengan melibatkan kerjasama jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi menarik penyertaan lebih banyak guru sebagai ahli YGMB," jelasnya.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat, program himpunan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan YGMB bagi membantu meningkatkan tahap profesionalisme guru.

Katanya, YGMB secara berterusan akan bekerjasama dengan seluruh JPN dan PPD di seluruh negara bagi membantu menaja program tersebut pada masa hadapan.

"YGMB memainkan peranan yang penting selaras dengan misi penubuhan yayasan ini untuk membantu dan memastikan kebajikan guru sentiasa terbela selain membantu meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Perkara ini dapat dilihat melalui program yang kita adakan hampir setiap minggu di seluruh negara dengan kerjasama JPN dan PPD. Menerusi program yang dijalankan ini kita akan terus membantu guru yang bernaung di bawah YGMB pada setiap masa," katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, dalam program yang diadakan di Sarawak itu pihaknya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Daisy Fruelin Nicholas Anyut kerana terlibat dalam satu kemalangan pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, sumbangan tersebut merupakan antara faedah yang akan diterima oleh guru apabila menjadi ahli YGMB.

Sementara itu, Daisy tidak menyangka mendapat manfaat sebanyak itu daripada YGMB setelah beliau terbabit dalam kemalangan bersama anaknya.