Skip to main content
x

INISIATIF TAPS UNTUK GURU DI PARLIMEN SEMBRONG DILANCAR

JOHOR BAHRU 28 Oktober 2017 - Hampir 1,000 warga pendidik di Parlimen Sembrong dekat Kluang bakal menerima pelbagai manfaat melalui empat inisiatif Task Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS) yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui inisiatif ini, TAPS telah menyenaraikan empat agenda bagi menyuntik semangat serta motivasi kepada pelajar di daerah ini.

Katanya, empat inisiatif melalui TAPS ialah melibatkan perkhidmatan van sekolah kepada pelajar di Parlimen Sembrong serta perlaksanaan tuisyen dan tutor dalam talian di 39 buah sekolah dengan peruntukan sebanyak 585 login ID bermula tahun depan.

“Selain itu, insiatif ini turut melibatkan pemberian skim perlindungan dan kebajikan kepada lebih 966 orang guru termasuk 191 guru Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Parlimen Sembrong dengan kos berjumlah RM231,360 dalam tempoh setahun.

“Turut disediakan ialah peruntukan sebanyak RM39,000 dan peralatan khas bagi mewujudkan ‘Coffee Corner’ di 56 buah sekolah termasuk 17 buah sekolah dibawah kelolaan MAIJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran TAPS di Sekolah Menengah Kebangsaan, Seri Kota, Paloh di sini.

Hadir sama, Pengerusi TAPS, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd. Dom. TAPS diterajui oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Sumber: Kosmo Online