Skip to main content
x

KOLABORASI YGMB - TAKAFUL IKHLAS PENUHI KEPERLUAN GURU

KUALA LUMPUR - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) pada 24 Julai 2018 lalu telah telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Takaful Ikhlas Berhad. MoU tersebut adalah rangka kerjasama strategik bagi menawarkan skim perlindungan dan kebajikan kepada lebih 500 ribu warga pendidik yang sedang berkhidmat di seluruh negara.  

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, “Dengan kolaborasi ini kami berharap dapat menguruskan skim perlindungan dan kebajikan guru dengan lebih profesional dan sistematik.”

“Skim baharu ini juga mengambil kira keperluan semasa guru termasuk menyediakan Kos Bantuan Guaman yang bernilai sehingga RM30,000 bagi memberi sokongan kepada guru yang berdepan dengan tindakan undang-undang.”

“Kita lihat trend saman-menyaman daripada  ibu  bapa  dan penjaga semakin banyak sekarang ini. Itu sebabnya kami mengambil pendekatan ini bagi membantu meringankan beban tekanan pada guru agar dapat bertugas tanpa rasa terancam.”

Penambahbaikan skim Ahli Baharu ini diperkenalkan setelah mengambil kira semua aspek keperluan masa kini  warga pendidik. Dengan yuran bulanan serendah RM28, ahli ditawarkan sebanyak 18 manfaat dengan nilai yang berganda berbanding skim terdahulu.

Dalam majlis menandatangani MoU itu, beliau mewakili YGMB manakala Takaful Ikhlas Berhad diwakili Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi Perniagaan & Keluarga, Haji Nazrul Hisham Abdul Hamid.

Hadir sama Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Komersial, Takaful Ikhlas Berhad, Wan Rosli Shahruddin Wan Yaakob, Pengerusi YGMB, Tan Sri Dato’ Alimuddin Mohd Dom, Timbalan Pengerusi YGMB, Dato’ Abdul Raof Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ikhlas Teguh Resources, Mohd Yusof Mohd Lazim.