Skip to main content
x

YGMB BANTU JAYAKAN TN2050 - MAT KE-23

PERMATANG PAUH, 29 April 2017 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sedia membantu kerajaan menjayakan Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan menyediakan input serta berkongsi kepakaran dalam aspek pendidikan.

 

TN50 adalah salah satu visi negara yang memberi penekanan kepada golongan muda termasuk guru-guru muda dan merekalah yang akan mencorakkan agenda itu pada masa depan.

 

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya bukan sahaja menjaga kebajikan warga pendidik di negara ini, malah membantu merencanakan aspirasi kerajaan terutama Kementerian Pendidikan.

 

Jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan kerana pendidikan penting untuk kejayaan transformasi membentuk generasi pada 2050 menerusi perancangan bermula dari peringkat awal sehingga ke tahap universiti.

 

Atas sebab itu, pihaknya menyasarkan kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan guru menyertai YGMB sebagai langkah meningkatkan kualiti pendidikan dengan jaminan kebajikan mereka terbela.

 

“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 91,091 guru dan kakitangan di bawah Kementerian Pendidikan telah menjadi ahli.

 

“Biarpun tiada paksaan, namun kita amat galakkan guru-guru muda terutama Guru Muda 1Malaysia untuk menyertai YGMB,” katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan YGMB di sini hari ini.

 

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman yang mewakili Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

 

Seramai 11 penerima sumbangan khas kebajikan diraikan selain YGMB turut menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada Rashid Ibau, bapa Mohd. Padzil guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang, Kedah, yang maut dalam nahas jalan raya bersama isterinya Masmiwaza Mohd. Noor hujung tahun lalu.

 

Sumber: Utusan