Skip to main content
x

YGMB bantu ringankan beban waris 2 guru

KOTA BHARU, 6 Jun 2017 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) hari ini telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada waris Nai Zura Mahamad, 44, guru yang meninggal dunia ketika sambutan Hari Guru di SK Othman Talib 1, Pasir Mas, 16 Mei lalu.

 

Sumbangan sebanyak RM8,000 itu disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom kepada suami Nai Zura, Kamarul Azhar Ahmad dalam satu majlis di bangunan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Tunjung, di sini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat serta Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kelantan, Abdullah Mat.

 

Selain waris Nai Zura, YGMB turut menyampaikan sumbangan sama kepada waris seorang lagi guru, Rozi Harun, 45, yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika pulang dari sekolah 30 Mac lalu. Sumbangan itu diterima isteri Allahyarham, Hasnenaza Mamat.

 

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditemui pemberita berkata, YGMB kini mempunyai hampir 100,000 keahlian terdiri daripada guru-guru di seluruh negara. “Setakat ini YGMB menawarkan 16 faedah kebajikan kepada ahli kita seperti khairat kematian, bencana, perkahwinan, kelahiran anak, mengerjakan haji dan lain-lain," katanya. 

 

Beliau dalam pada itu menyeru lebih ramai guru menjadi ahli YGMB bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga masing-masing terbela terutama apabila ditimpa musibah.

 

“Setakat ini ada kira-kira 400,000 guru di seluruh negara. Kita sasar untuk mendapat keahlian sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah ini, iaitu sekitar 200,000 guru pada masa akan datang,” katanya.

 

Sementara itu, Kamarul Azhar mengucapkan terima kasih kepada YGMB dan menyifatkan sumbangan tersebut dapat meringankan bebannya yang kini membesarkan empat orang anak yang masih belajar secara sendirian.

 

“Arwah isteri amat mementingkan pendidikan anak-anak, jadi saya bercadang mahu menyimpan wang sumbangan YGMB dalam tabung pendidikan empat anak kami,” katanya.

 

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari 16 Mei lalu, arwah Nai Zura dikatakan tiba-tiba rebah ketika duduk di atas kerusi selepas membuat persembahan Dikir Barat bersama rakan setugasnya sempena sambutan Hari Guru di sekolah mereka.