Skip to main content
x

YGMB BELA NASIB GURU

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2015 – Kehidupan seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 2, Ishak Mat, 44, mula berubah selepas disahkan menghidap kanser rektum tahap tiga Januari lalu.

Penyakit itu telah menyebabkan dia terpaksa menggunakan alat bantuan sokongan untuk menakung bahan pencernaan seumur hidupnya.

“Doktor memberitahu kanser berkenaan telah merebak 60 peratus pada usus saya dan mujur saya segera membuat pemeriksaan yang sebelum ini saya tidak titik beratkan.

“Kesan pembedahan sebelum ini memberikan sedikit perubahan yang positif pada diri saya dan saya akan terus berjuang untuk terus hidup,” katanya selepas menerima lawatan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat yang me­nyam­paikan sumbangan bagi meringankan beban menanggung kos perubatan dan rawatan.

Wan Munadi berkata, Ishak layak menerima salah satu daripada 16 faedah kebajikan yang tersedia memandangkan dia me­rupakan ahli berdaftar di bawah YGMB.

“Sepanjang tahun lalu, kami telah menyalurkan sumbangan bernilai hampir RM2 juta sebagai kebajikan termasuk ahli yang sedang menjalani rawatan di hospital.

“Baru-baru ini juga, kita telah salurkan sumbangan kepada 17 guru yang mempunyai penyakit kronik sekali gus menjadikan rekod penerima menjadi 400 orang,” katanya.

Selain itu, dia juga menyeru guru-guru muda agar menyertai YGMB yang menawarkan pelbagai faedah dan manfaat melebihi RM80,000.



Sumber: Utusan Malaysia