Skip to main content
x

YGMB GALAK GURU JADI AHLI

PUTRAJAYA, 4 Julai 2015 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menggalakkan guru yang masih dalam perkhidmatan menyertai yayasan tersebut bagi menjaga kebajikan ahlinya.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pelbagai manfaat menarik bakal diperoleh guru yang menjadi ahli yayasan tersebut menerusi 16 produk kebajikan yang disediakan.

Selain itu, kata beliau, kerjasama strategik antara YGMB dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam menawarkan kad kredit 1TeachersCard yang merupakan satu-satunya kad kredit ditawarkan kepada semua guru, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan juga perkhidmatan terkini disediakan untuk ahlinya.

“Menerusi kerjasama dengan BSN ini setiap guru dapat menikmati kadar faedah kad kredit yang terendah iaitu sebanyak 8.8 peratus setahun berbanding kad daripada bank lain. Dalam masa sama, setiap perbelanjaan runcit oleh pemegang kad, YGMB akan menerima sumbangan 0.2 peratus daripada bank untuk dimanfaatkan bagi kebajikan ahli kita.

“Bagi mereka yang belum menjadi ahli YGMB dan layak memohon kad ini yuran pendaftaran sebanyak RM10 akan dikecualikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Iftar Ramadan YGMB bersama anak yatim dan Kelab Media Putrajaya di sini semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 30 anak-anak yatim dari Rumah Pengasih Warga Prihatin sempena hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Mengulas lanjut, Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, dengan hanya yuran bulanan sebanyak RM10 sahaja, ahli YGMB dapat menikmati jumlah keseluruhan nilai 16 faedah kebajikan yang melebihi RM90,000.

Katanya, 16 faedah berkenaan meliputi khairat kematian (ahli), khairat kematian (pasangan), khairat kematian (anak), kemalangan, kecacatan kekal (ahli), kecacatan kekal (pasangan), kecacatan kekal (anak), elaun hospital dan malapetaka.

Selain itu, katanya, faedah lain ialah melibatkan akibat musibah, insentif pelajaran (ahli), insentif pelajaran (anak), persaraan, mengerjakan haji, melahirkan anak dan perkahwinan.

“Beberapa bulan lepas kita pernah memberi sumbangan kepada waris seorang guru berumur 28 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan, biarpun guru terbabit baru menjadi ahli selama tujuh bulan, kita tetap memberi sumbangan bagi meringankan beban ke­luarganya,” katanya.



Sumber: Mingguan Malaysia