Skip to main content
x

YGMB LAKSANA PENDEKATAN LEBIH AGRESIF

 

KOTA KINABALU, 16 November 2015 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) akan melaksanakan pendekatan lebih agresif dengan menganjurkan jelajah di seluruh daerah di negeri ini bermula awal tahun depan.

Langkah itu, jelas Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat adalah bagi memastikan semua guru muda di negeri ini mendaftar keahlian dalam yayasan tersebut.

Menurutnya, YGMB akan bekerjasama dengan semua pejabat pendidikan dan persatuan guru muda di setiap daerah bagi melaksanakan kempen secara berterusan itu.

“Menerusi kempen ini, kita yakin dapat memberikan penerangan dan pendedahan kepada guru muda tentang kepentingan menyertai YGMB demi kebajikan serta masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program memperkasa potensi kreatif Guru Muda 1Malaysia (GM1M) dalam aplikasi pendidikan sejagat disini baru-baru ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Abd. Raof Hussin dan Presiden GM1M negeri, Noor. Sabariah Jasa.

Dalam pada itu, Wan Munadi Wan Mamat, guru muda yang ingin mendaftar keahlian perlu membayar yuran seumur hidup serendah RM10 sebulan dan berhak mendapat pelbagai kemudahan termasuk 16 faedah yang mencecah sehingga RM50,000.

“Penubuhan YGMB mendapat sokongan Kementerian Pendidikan dan bertujuan membela kebajikan guru di negara ini. Kita Berjaya membentuk satu kesatuan yang belum pernah diwujudkan oleh mana-mana persatuan guru di Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai kebajikan khas yang bakal diperoleh guru muda di Sabah dan Sarawak, Wan Munadi optimis pihaknya akan menjalankan kajian bentuk nilai tambah kepada produk kebajikan sedia ada yang ditawarkan pihaknya agar lebih ramai guru muda di negeri ini menyertai YGMB.

“Saya amat berharap guru muda khususnya di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk menjadi ahli kepada yayasan kami. Sebanyak 16 kebajikan itu akan menjadi pemangkin kepada usaha mendidik anak bangsa menjadi seorang modal insan berketrampilan,” katanya.

Sementara itu, Abd. Raof Hussin melahirkan rasa gembira dengan penglibatan dan kesungguhan guru muda dari daerah ini pada program tersebut.

Kehadiran tersebut, kata beliau memberi persepsi positif bahawa guru-guru muda di negeri ini mengambil kira soal kebajikan masing-masing dalam usaha mendidik para pelajar.

“Jika dilihat, faedah yang diperoleh ahli YGMB ini amat menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk berkhidmat dengan cemerlang dengan memberi buah fikiran yang bernas selain sistem pengajaran dan pembelajaran.

“Oleh itu, ini adalah manfaat dua dalam satu. Kebajikan guru mendapat pembelaan selain sistem pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, Abd. Raof mengingatkan para guru muda bahawa profesion keguruan itu merupakan amanah besar yang tidak boleh diabaikan dan dikhianati.