Skip to main content
x

YGMB MAHU MODEL TAPS DIPERLUAS KE SELURUH NEGARA

KLUANG, 7 MAC 2018 - Task-Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS) yang menfokuskan kepada aspek kebajikan guru serta melonjak prestasi pelajar diyakini membantu negeri ini meningkat ke tangga keempat dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), baru-baru ini.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang juga Pengerusi TAPS, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, TAPS yang dilancarkan Oktober lalu menjadi elemen kepada lonjakan positif keputusan itu berbanding tangga kelima tahun lalu.

“Tidak dinafikan usaha guru yang begitu komited memastikan keputusan STPM yang diumumkan baru-baru ini menjadi faktor ianya meningkat pada tahun ini, tetapi TAPS dilihat turut menjadi faktor kepada peningkatan cemerlang ini.

“TAPS yang merangkumi kebajikan guru serta penglibatan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan komuniti mempunyai pakej yang menyeluruh dalam membantu meningkatkan institusi pendidikan negara,” katanya selepas Program Bicara Tokoh Transformasi Kepimpinan Islam Dalam Pendidikan di Sekolah Menengah Sains Sembrong.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat, Wakil Rasmi Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Mohd. Hafiz Ariffin dan Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Shaharudin Basri Ibrahim.