Skip to main content
x

YGMB PERUNTUK RM200,000 BANTU AHLI TERJEJAS AKIBAT BANJIR

KEMAMAN, 9 Mac 2014 - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) memperuntukkan sumbangan RM200,0000 untuk diagihkan kepada kira-kira 300 ahlinya yang turut menjadi mangsa banjir pada penghujung tahun lepas.

Melalui program kebajikannya itu, sebanyak RM52,000 diagihkan kepada 104 penerima di negeri ini dengan masing-masing akan menerima sebanyak RM500 manakala selebihnya diberi kepada ahli YGMB di Pahang.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak YGMB dalam mengurangkan bebanan ahli khususnya guru bagi memulihkan suasana kehidupan setelah teruk terjejas.

"Secara keseluruhan, YGMB telah menyumbang lebih RM10 juta untuk pelbagai program berbentuk kebajikan kepada hampir 100,000 ahlinya termasuk program seperti ini sejak penubuhannya kira-kira 20 tahun yang lalu.

"Bagaimanapun, tidak ramai ahli kita yang mengetahui perkara ini termasuk faedah yang diperoleh dengan menyertai YGMB.

"Sehubungan itu, kita akan terus perluaskan maklumat semasa mengenai YGMB selain merekrut lebih ramai ahli," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kebajikan mangsa banjir kepada ahli YGMB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Raof Hussin; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Husin serta beberapa kenamaan lain.

Sementara itu, Norliza dalam ucapannya mahu badan lain mencontohi tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh YGMB yang menjurus kepada pembelaan nasib ahli.

Katanya, YGMB menggerakkan pelbagai program untuk kepentingan ahli termasuk ketika berdepan dengan bencana yang menyulitkan kehidupan.

"Justeru, saya menyeru kepada guru yang belum menyertai YGMB agar dapat bersama-sama bagi mengukuhkan lagi peranan YGMB di samping dapat pelbagai manfaat yang disediakan," katanya.



Sumber: Utusan