Skip to main content
x

YGMB SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA WARIS TAHFIZ

KOTA BHARU 9 Oktober 2017 - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) hari ini menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarham Mohamad Daniel Md. Amin,14, salah seorang mangsa tragedi pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Bunut Payung di sini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat kepada ibu mangsa, Surianty Mohamed, 39.

Wan Munadi berkata, sumbangan tersebut adalah susulan penyerahan sumbangan pada 20 September lalu oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada waris mangsa.

“Pada majlis itu, hanya 19 waris daripada keseluruhan 23 orang waris pelajar tahfiz yang hadir. Jadi hari ini, kita serahkan sendiri dalam kunjungan ke rumah ibu Allahyarham Mohamad Daniel.

“Walaupun institusi tahfiz ini bukan di bawah kementerian tetapi atas keperihatinan kita tampil serahkan sumbangan agar dapat membantu serba sedikit keluarga ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, YGMB telah menyumbangkan sebanyak RM46,000 kepada waris pelajar dan guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban dalam tragedi tersebut.

Dalam kejadian pada 14 September lalu, selain Mohamad Daniel seramai 22 lagi penghuni termasuk dua guru tahfiz tersebut maut dalam kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat.

 

Sumber: Utusan Online