Skip to main content
x

YGMB SASAR 50 PERATUS AHLI GURU MUDA

MARAN, 6 Ogos 2015 – Yayasan Guru Muda Malaysia Berhad (YGMB) menyasarkan keahlian guru muda meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah kese­luruhan ahli menjelang 2020 berbanding kira-kira 20 peratus pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sehubungan itu, pihaknya akan melaksanakan pendekatan lebih agresif bagi mendaftarkan lebih ramai guru muda dalam yayasan tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan semua pejabat pendidikan dan persatuan guru muda di setiap daerah bagi melaksanakan kempen secara berterusan. Menerusi kempen ini, kita yakin dapat memberikan penerangan dan pendedahan kepada guru muda tentang kepentingan menyertai YGMB demi kebajikan serta masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan perjumpaan bersama guru muda daerah ini di Dewan Pejabat Pendidikan Daerah Maran di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah, Jailani Rudin dan Pengerusi Guru Muda Maran, Mohd. Azuan Saari.

Menurut Wan Munadi, pada masa ini terdapat kira-kira 85,000 guru menyertai YGMB daripada keseluruhan 430,000 guru di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

Beliau memberitahu, bagi memastikan usaha membela kebajikan guru dapat dilaksanakan YGMB dengan lebih menyeluruh, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada guru di negara ini menyertai yayasan itu menjelang 2020.

“Kita percaya dengan pelbagai pendedahan dan peningkatan kese­daran tentang faedah kebajikan dalam YGMB dapat meningkatkan jumlah keahlian dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, YGMB yang ditubuhkan pada 7 Mac 1994 dengan sokongan Kementerian Pendidikan tidak bermotifkan keuntungan dan bertujuan membela kebajikan guru di negara ini.

Katanya, dengan jumlah yuran serendah RM10 sebulan, ahli berhak mendapat pelbagai kemudahan termasuk 16 faedah yang mencecah sehingga RM50,000.

“Kita berjaya membentuk satu produk yang tidak ditawarkan oleh mana-mana kesatuan dan persatuan guru di negara ini dengan bayaran yang minimum, jadi kita harap guru-guru dapat merebut peluang ini,”katanya.

Sementara itu, Mohd. Azuan berkata, berdasarkan pelbagai faedah ditawarkan YGMB, respon yang diterima daripada kira-kira 1,046 guru muda di daerah ini amat menggalakkan.

Sumber: Utusan