Skip to main content
x

YGMB SASAR LEBIH 200,000 GURU JADI AHLI

BATU PAHAT, 28 Mac 2016 - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) mensasarkan lebih 200,000 guru di seluruh negara akan menjadi ahli yayasan berkenaan sebelum 2020.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, dijangka pada tahun tersebut, negara akan mempunyai kira-kira 400,000 guru, di mana sehingga kini hanya 100,000 sahaja menjadi ahli yayasan.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya kini giat mempromosikan dan memberikan penerangan kepada guru berkaitan kebaikan menjadi ahli YGMB.

"Antara dilakukan ialah menganjurkan program dan pertemuan dengan guru untuk memberi penerangan kepada mereka terutama kepada guru muda dan guru baharu.

"Kita adakan program seperti ini sejak tahun lalu.Program secara bersama dilakukan di Sabah, Sarawak dan kini di Johor sebelum ia dilakukan di negeri lain.

"Banyak manfaat diperoleh dengan yuran bulanan hanya RM10 sebulan, ditolak daripada gaji guru terbabit. Ahli akan menikmati keseluruhan 16 faedah kebajikan dengan nilai lebih RM70,000," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program YGMB Bersama-sama Guru Muda 1Malaysia Batu Pahat 2016 di Minyak Beku Agrotourism Resort, kelmarin.

Alimuddin berkata, penyertaan masih rendah dalam kalangan guru untuk menyertai YGMB walaupun lebih 20 tahun ditubuhkan, berpunca daripada kurang pemahaman.

Menurutnya, masih ramai tidak tahu manfaat dan keistimewaan yayasan, yang tidak terdapat dalam skim lain termasuk insurans, yang mampu memberikan sumbangan kebajikan seperti YGMB.

"Sebagai contoh, dalam tahun ini sahaja RM3 juta diperuntukkan untuk tujuan kebajikan ahli, berbanding tahun lalu RM2 juta terutama dibayar untuk tuntutan kemalangan,"katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Md Said Md Daimon.

Program disertai 450 pendidik itu, menyaksikan enam guru menghidap sakit kronik menerima sumbangan termasuk bayaran khairat kematian kepada balu seorang guru yang maut akibat kemalangan tahun lalu.

Balu berkenaan, S Kalpana, 32, menerima sumbangan YGMB berjumlah RM28,000 untuk mendiang suaminya, K Balachandran, 36.