BUKTI CINTA SUAMI MENGURUSKAN ISTERI TENAT HIDAP BARAH OTAK
Oleh: Nur Ifarna Nasreen Anvardeen
TANAH MERAH, 8 Dis 2020 – “Selagi hayat dikandung badan dan dikurniakan kudrat, saya akan tetap menjaga dan menguruskan isteri yang sedang terlantar sakit sebagai bukti cinta saya terhadapnya,” itu luahan hati suami kepada Cikgu Ku Ai Chean yang sedang menderita akibat barah otak.
Suami kepada guru yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheemong, Terengganu, Ting Len Yew, 40 berkata, dia mula menjaga isterinya sejak tahun 2018 apabila mula-mula menghidap barah payudara sehingga pulih.
“Sebenarnya, dia mula sakit barah payudara selepas beberapa bulan melahirkan anak kami. Pelbagai rawatan kimoterapi dilakukan dan akhirnya pada penghujung 2019, dia sudah disahkan bebas dari barah tersebut serta kembali pulih seperti sedia kala.
“Namun, kegembiraan kami tidak lama apabila dua minggu selepas itu dia mula muntah dan pengsan sehingga mengakibatkan bahagian muka dan kepala tidak berfungsi. Apabila mendapatkan rawatan, kami diberitahu bahawa barahnya sudah menjangkiti otak yang akhirnya mengakibatkan dia hanya terlantar sehingga kini.
Sebagai seorang suami, Ting Len Yew akui berat ujian yang sedang dihadapinya namun hanya anak mereka menjadi penguat semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Tipulah kalau saya kata sentiasa kuat. Ada masanya saya juga down dan rasa sedih. Melihat kepada kondisinya kini, saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk dia kembali sihat seperti dahulu. Saya redha akan ketentuan ini, namun selagi hayatnya masih ada, selama itulah saya akan tetap menguruskannya. Anak kami yang baru berusia empat tahun itulah sumber kekuatan saya sekarang,” ujarnya ketika ditemui dalam siri ‘Ziarah Prihatin YGMB’ di sini hari ini.
Ting Len Yew turut menzahirkan kesyukuran kepada pihak Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang hadir bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan ke kediamannya bagi menghulurkan bantuan khas kepada isterinya.
Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Turut hadir ialah, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kamal Ruzaman Hasan dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan PPD, Che Hanum Che Ali.