KONGRES IKTIRAF DAYA USAHA YGMB
KUANTAN, 21 Oktober 2016 – Daya usaha YGMB untuk turut sama berperanan menjaga kebajikan warga pendidik mendapat pengiktirafan Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres).
Sebagai kesatuan pembela profesion keguruan serta sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan para guru, Presiden Kongres, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad menyuarakan komitmen pihaknya untuk menyokong setiap usaha YGMB dalam memperkasakan peranannya untuk menjaga kebajikan warga pendidik.
Mohamer Sabri mengakui sejak penubuhan YGMB pada 7 Mac 1994, pelbagai manfaat yang memfokuskan kepada kebajikan guru apabila ditimpa musibah atau menghadapi kekangan diberikan perhatian oleh yayasan berkenaan.
“Sebanyak 16 manfaat ditawarkan oleh YGMB seperti produk khairat kematian, kecacatan kekal atau hilang upaya, kemalangan secara bayaran ganti rugi.
“Saya tidak fikir ada skim sedemikian di pasaran dengan membayar yuran bulanan sebanyak RM10 sebulan yang boleh memberikan sumbangan kebajikan sedemikian. Insurans pun tidak ada peruntukan sebegini,” kata beliau.
Beliau ditemui Oktober lalu selepas Mesyuarat Majlis Guru Besar Daerah Kuantan di PPD Kuantan, Pahang.
Sumber: Utusan