portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

“SAYA TERKILAN KERANA ISTERI TIDAK MEMBERITAHU BAHAWA DIRINYA HIDAP KANSER” – SUAMI AHLI SKIM 16

Galeri

SEREMBAN, 2 April 2024 – Simptom penyakit yang dianggap sebagai demam biasa yang dihidapi oleh isteri sejak November tahun lalu rupa-rupanya adalah merupakan titik hitam dalam hidup Suresh a/l Kaneswaran, 45, apabila isterinya meninggal dunia pada Januari lalu.

Citra Devi a/p Muniandy, 42, yang disahkan menghidap kanser darah akhir tahun lalu dikatakan tidak memaklumkan kepada suaminya bahawa beliau menghidap penyakit tersebut kerana tidak mahu keluarganya risau akan keadaan kesihatannya.

“Saya mula berasa hairan kerana isteri sering mengambil ubatan tradisional dan saya sangat terkilan kerana hanya mengetahui isteri saya hidap kanser di saat-saat akhir, jika tidak pastinya saya akan berusaha untuk mendapatkan rawatan yang terbaik untuk dirinya.”

Ujar Suresh, melihat keadaan Citra Devi yang semakin kritikal, beliau terus membawanya ke hospital kerajaan yang berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

“Selepas mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan bahawa isteri saya menghidap kanser darah tahap akhir dan tiada rawatan dapat dilakukan kerana keadaan isteri saya ketika itu sudah tenat. Doktor juga meminta untuk kami sekeluarga berkumpul bersamanya sebelum mendiang menghembuskan nafas yang terakhir.”

Suresh berasa ralat dan menganggap isterinya masih muda lebih-lebih lagi kesemua anak mereka masih kecil dan selepas ini perlu menguruskan diri sendiri tanpa kasih-sayang ibu mereka.

Citra Devi yang merupakan guru Bahasa Tamil dan Matematik di SJK(T) Ladang Sungala, Negeri Sembilan selama 20 tahun meninggalkan tiga orang anak berusia dalam lingkungan tujuh hingga 14 tahun.

Dalam pada itu, Suresh pada hari ini menerima manfaat Khairat Kematian isterinya yang merupakan Ahli Skim 16 sebanyak RM8,000 menzahirkan penghargaan kepada YGMB atas penyerahan manfaat tersebut sekaligus dapat meringankan beban perbelanjaan harian anaknya yang masih bersekolah.