portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

FADHLINA SIDEK GALAK ORANG RAMAI TONTON FILEM MEMOIR SEORANG GURU

Galeri

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggalakkan orang ramai untuk menonton filem Memoir Seorang Guru yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 30 Mei ini.

Fadhlina berkata, filem yang mengetengahkan peranan dan jasa seorang guru itu sarat dengan pelbagai mesej positif, lebih-lebih lagi ia diadaptasikan daripada sebuah novel hasil karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Abdullah.

“Filem ini adalah karya agung daripada sasaterawan yang sangat-sangat dekat dengan masyarakat dan setiap karya beliau adalah karya yang sangat menyentuh perasaan.

“Karya ini telah diangkat dengan sangat baik ke layar filem dengan penjiwaan, pemilihan kata dan babak-babak yang saya tidak boleh gambarkan dapat diterjemahkan dengan sangat baik sekali,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya selepas pra tayangan filem berkenaan di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan pelakon utama filem Memoir Seorang Guru, Datuk Rosyam Noor.

Sebagai rekod, filem Memoir Seorang Guru diterbitkan oleh Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. (KAHSB) dengan kerjasama YGMB.

Dalam pada itu Wan Munadi berkata, selaku rakan strategik, pihaknya amat menyokong usaha murni yang dilakukan oleh KAHSB dalam menghasilkan filem berkenaan.

“Selaku sebuah institusi yang memelihara kebajikan warga pendidik di negara ini, tentu sekali peranan, visi dan misi YGMB terarah untuk memartabatkan profesion keguruan ini.

“Oleh itu, kerjasama yang dijalinkan dalam pembikinan filem ini adalah umpama satu impian YGMB yang terlaksana untuk membantu dan menyokong sektor korporat termasuk industri perfileman dalam menerbitkan sebuah filem yang boleh mengangkat martabat profesion keguruan negara,” katanyanya.

Selain itu, Wan Munadi juga menzahirkan ucapan tahniah kepada KAHSB kerana berani menerbitkan filem dalam usaha mengetengahkan peranan dan jasa seorang guru di negara ini.

“Perjuangan seorang guru umpama wira yang tidak didendang ini adalah tanggungjawab yang bercirikan semangat patriotik untuk mendidik anak bangsa sedari kecil hingga dewasa.

“Justeru itu, peluang untuk mengetengahkan peranan guru dalam bentuk visual seperti penerbitan filem ini adalah bertepatan pada masa kini dalam usaha mengeratkan hubungan warga pendidik kepada masyarakat umum,” ujarnya lagi. – Malaysia Tribune