portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

DULU MAIN ‘CIKGU-CIKGU’, KINI TOKOH GURU PULAU PINANG

Galeri

PERMATANG PAUH : Aktiviti kegemarannya iaitu bermain ‘cikgu-cikgu’ sejak kecil bertukar menjadi realiti apabila Fathiyah Abu Bakar berjaya bergelar seorang pendidik untuk tempoh sehingga 32 tahun.

Bukan itu sahaja, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi berusia 65 tahun itu turut dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Pulau Pinang 2024 sempena Program Apresiasi Pendidikan 2024.

Fathiyah yang bersara sebagai guru sejak 2017 berkata, beliau tidak menyangka akan menerima pengiktirafan itu yang disifatkan sebagai salah satu daripada pencapaian terbesarnya sepanjang berkecimpung dalam bidang pendidikan.

“Sejak kecil, saya suka main ‘cikgu-cikgu’. Sayalah cikgunya manakala tujuh (adik) beradik lagi (yang lain) disuruh menjadi anak murid.

“Selain minat yang mendalam, arwah ibu, Fatimah Abdul Hamid juga menjadi inspirasi saya kerana beliau merupakan seorang guru di sekolah orang dewasa.

“Andai arwah ibu masih ada, sudah tentu beliau akan gembira kerana saya dan seorang lagi adik berjaya mengikut jejak langkahnya sebagai pendidik,” katanya ketika ditemui pemberita di UiTM Permatang Pauh, di sini hari ini.

Selain beliau, bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdul Samad turut menerima penghargaan iaitu menerusi anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri.

Anugerah tersebut membolehkan kedua-dua mereka menerima wang imbuhan sebanyak RM2,500, plak penghargaan, pakej percutian serta hadiah istimewa iaitu dua buah televisyen bersaiz 65 inci sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya komited untuk terus memelihara kebajikan sekali gus memartabatkan profesion keguruan negara.

“Setiap tahun, kita berusaha mencari kaedah bagaimana untuk memberi penghargaan kepada warga pendidik atas kejayaan serta kecemerlangan mereka dalam menjalankan tugas. – UTUSAN