portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

PESARA GURU MENINGGAL, ISTERI TERIMA KHAIRAT KEMATIAN RM52,000

Galeri

KUCHING, 25 Jun 2024 – Kegembiraan seorang guru Bahasa Inggeris yang baru meraikan persaraan pada Hari Malaysia tahun lalu bertukar menjadi suram apabila disahkan menghidap penyakit barah hati selepas pulang daripada mengerjakan ibadah Umrah Disember lalu.

Lebih menyayat hati, menurut isterinya, Masniah Salberi Melchi, 56, arwah suaminya, Ahmat Ibrahim Sah meninggal dunia dua bulan selepas menderita penyakit tersebut.

“Sebelum kami berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadah Umrah, suami sering mengadu pedih di bahagian ulu hatinya dan apabila menjalani pemeriksaan di klinik, doktor hanya mengesahkan suami mengalami gejala gastrik, bagaimanapun sakit perutnya tidak berkurang dan arwah hanya bertahan dengan paracetamol sepanjang kami berdua mengerjakan Umrah,”

Tambah Masniah, suaminya yang merupakan Ahli Skim Emas sebelum ini ada membuat tuntutan bagi Hadiah Persaraan dan telah menerima sebanyak RM300.

“Arwah membuat tuntutan selepas dia bersara pada 16 September dan kemudiannya kami banyak menghabiskan masa bersama. Saya sangat sedih namun reda dengan ketentuan daripada Allah memandangkan arwah tidak terlantar sakit dalam tempoh yang lama dan cara pemergiannya dalam keadaan yang baik.”

Luahnya dalam nada sebak, kenangan semasa mengerjakan Umrah bersama-sama suaminya itu menjadi satu kenangan yang cukup manis dan akan dikenang hingga hujung nyawa.

Sehubungan itu, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyerahkan manfaat Khairat Kematian Ahmat Ibrahim sebanyak RM52,033.37 kepada isterinya dalam satu program Ceramah Anti-Scam Warga Pendidik Sarawak anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama YGMB.

Dalam pada itu, YGMB turut menyerahkan manfaat Khairat Kematian kepada dua waris Ahli Skim 16 (AS16) sebanyak RM8,000 seorang.

Allahyarham Mohd Hazikin Tuah meninggal dunia secara mengejut semasa sedang berehat di rumahnya pada 8 Disember lalu adalah merupakan guru Bahasa Inggeris dan telah berkhidmat selama 28 tahun di SMK Semerah Padi manakala Allahyarham Mohamad Asghar Mohamad Jumar, adalah seorang guru Kaunseling selama 34 tahun di SK Satria Jaya meninggal dunia akibat serangan jantung, 22 April yang lalu.

Kesemua penyerahan manfaat tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr. Haji Azhar Haji Ahmad dengan iringan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.