portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

GURU HIDAP KANSER TERIMA MANFAAT SKIM PERLINDUNGAN KEBAJIKAN YGMB

Galeri

IPOH, 10 Julai 2024 – Seorang guru bersyukur apabila menerima manfaat sebanyak RM25,084.06 sebagai Ahli Skim 18 (AS18), iaitu skim perlindungan dan kebajikan di bawah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) selepas disahkan menghidap penyakit kanser payu dara tahap satu setahun lalu.

Guru dari Sabak Bernam yang menerima manfaat skim tersebut, Siti Noor Hasmah Tasis, 40, berkata, dia bersyukur mendaftar sebagai ahli AS18 YGMB pada tahun 2022 dan tidak menyangka disahkan menghidap kanser pada tahun 2023.

“Saya baru sahaja mendaftar sebagai ahli dan tidak menyangka menerima manfaatnya setahun selepas mencarum. Dengan bayaran sebanyak RM28 sebulan, saya memang tidak menyangka akan menerima manfaat sebanyak RM25,084.06,” katanya kepada pemberita pada program Ceramah Anti Scam terhadap warga pendidik di SMK Yuk Choy di sini, hari ini.

Katanya, selepas dua minggu disahkan menghidap kanser, dia terus menjalani pembedahan kerana tumor kanser aktif dan perlu menjalani pembedahan awal.

“Pada awalnya tumor tersebut hanya 1.4 sentimeter (cm) tetapi dalam masa dua minggu ia membesar sehingga lima sentimeter. Atas nasihat pakar, saya terus menjalani pembedahan. Sewaktu itu, anak masih menyusu tetapi terpaksa berhenti kerana saya terpaksa membuang sebelah payudara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, guru-guru disarankan menjadi ahli YGMB untuk perlindungan diri dan keluarga.

Ujarnya, skim yang ditawarkan oleh YGMB itu bukan hanya untuk guru, tetapi ahli keluarga juga dapat menikmati manfaatnya.

“Kita galakkan guru-guru untuk sertai dalam skim ini, bayarannya pun tidak tinggi. Kita pun tak tahu bila kita akan sakit.

“Guru-guru yang mendaftar dapat menikmati pelbagai jenis manfaat seperti sakit kritikal, khairat kematian termasuk ditimpa kemalangan,” katanya. – UTUSAN