portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

“HILANG SEPARUH JIWA SAYA” – GURU HILANG UPAYA PENGLIHATAN, TUNGGU BERSARA

Galeri

KENINGAU, 26 Julai 2024 – Bermula dengan hanya menghidap darah tinggi dan masalah buah pinggang, seorang guru Pendidikan Moral kini tidak mampu untuk terus mengajar seperti biasa.

Boy Billy, 45, yang mengajar di SK Saint Francis Xavier di Keningau sejak 10 tahun lalu itu disahkan oleh doktor bahawa matanya kini hilang upaya untuk melihat hampir sepenuhnya.

“Pada mulanya doktor mencadangkan kepada saya untuk menjalani rawatan laser mata namun apabila menjalani prosedur tersebut keadaan mata saya menjadi semakin teruk bermula daripada sebelah mata.”

Keadaan matanya yang semakin teruk itu membuatkan beliau takut untuk meneruskan rawatan laser dengan lebih lanjut kerana bimbang akan proses rawatan tersebut yang berisiko tinggi malah keadaan penglihatannya ini menyebabkan beliau terpaksa mengambil cuti panjang sejak hujung tahun lalu.

“Saya diberi cuti sejak hujung tahun lalu dan masih menunggu proses untuk mendapatkan tarikh bersara. Saya amat sedih dan kecewa dengan keadaan diri ketika ini kerana saya tidak lagi dapat mendidik anak-anak murid yang saya sayangi. Sebagai seorang guru, mendidik dan mengajar adalah jiwa saya dan kini saya hilang “jiwa” saya.”

Katanya ketika dihubungi oleh YGMB, dia yang tidak dapat lari daripada rasa sedih itu walau bagaimanapun menzahirkan penghargaan kepada YGMB atas bantuan yang diberikan.

Manfaat Kecacatan Kekal/ Hilang Upaya yang diterima sebanyak RM5,000 ini akan digunakan sebaiknya untuk rawatan bagi penyakitnya itu.

Boy berkata, semoga bantuan daripada YGMB ini sedikit sebanyak mengurangkan beban para guru yang ditimpa musibah dan cabaran getir seperti ini.

Dalam pada itu, YGMB turut menyerahkan satu lagi manfaat Khairat Kematian kepada waris Ahli Skim 18 (AS18), Mendiang Rokimin Borukot yang meninggal dunia akibat penyakit hati kronik berjumlah RM27,002.90 kepada Chin Wei Ya yang diwakili oleh anak lelakinya, Roevel Richelieu Rokimin.

Kedua-dua penyerahan tersebut disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Johari Sabin dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam majlis Perhimpunan Bulanan PPD Keningau.