PASIR MAS – Seorang ibu yang terlihat sihat dan kuat rupa-rupanya telah menyorokkan penderitaan yang dialami hampir setahun di hadapan ahli keluarganya yang tersayang.
Allahyarhamah Ustazah Wan Azirah Wan Ahmad yang menderita Metastatic Lung Cancer meninggal dunia pada April lalu selepas kanser itu merebak ke bahagian otak sebenarnya telah menyorokkan penderitaanya hampir setahun daripada pengetahuan ahli keluarga.
Menurut anak kedua Allahyarhamah, Mohammad Nazafee Nasir, 27, mereka sekeluarga telah reda dengan pemergian ibunya. Tambah Nazafee, rahsia ini diketahui apabila terjumpa semua dokumen dan ubat-ubatan yang disimpan oleh Allahyarhamah Ustazah Wan Azirah di ruangan pejabat di sekolah tempatnya mengajar. Allahyarhamah merupakan ibu dan guru yang kuat dan ceria meskipun diuji dengan penyakit yang kronik.
Sehubungan itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Drs. Haji Ahmad Yani Muhammad telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 (AS16) kepada suami Allahyarhamah Ustazah Wan Azirah iaitu Nasir Mat Daud dalam satu program penyampaian manfaat yang diadakan di Maahad Muhammadi Pasir Mas.