KLUANG, 22 September 2024 – Seorang guru dari SMK Sultan Alauddin, Felda Bukit Besar di Kulai harus bersara lebih awal apabila dirinya disahkan menghidap kanser pundi kencing sejak dua tahun lalu.
Zuraini Kassim yang berusia 54 tahun tetap tabah dan yakin dengan ketentuan Illahi meskipun doktor memaklumkan beliau hanya ada peluang untuk hidup selama lima tahun sahaja. Namun, beliau yakin apa yang ditetapkan oleh Allah yang setiap penyakit ada penawarnya.
Kini, Zuraini sedang menjalani rawatan imunoterapi dalam usaha untuk membantu sistem imun badan melawan sel barahnya.
“Rawatan tersebut adalah merupakan antara kaedah terbaik yang disarankan oleh doktor kepada saya ketika ini bagaimanapun ubat-ubatannya memerlukan kos yang sangat tinggi di mana saya perlu membeli sendiri.”
Zuraini berkata, dengan manfaat yang diterima daripada YGMB inilah sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya untuk pembelian ubatan tersebut.
Sehubungan itu, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyerahkan manfaat Penyakit Kritikal kepada Zuraini berjumlah RM25,216.32 yang telah disampaikan oleh Dato’ Haji Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam sebuah Program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik Negeri Johor anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama YGMB yang diadakan di SJKC Chong Hwa 2.