KUANTAN, 10 Oktober 2024 – Mariani Tumin, 53, yang disahkan menghidap kanser buah pinggang pada April lalu, menerima manfaat Penyakit Kritikal berjumlah RM50,070.83 daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
“Seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Tiada siapa yang dapat mengetahui apa yang akan terjadi kepada diri kita di masa hadapan jadi saya tidak salah membuat keputusan untuk menjadi ahli YGMB yang sentiasa komited menjaga kebajikan para guru yang senasib dengan saya,” ujar Mariani.
Mariani yang merupakan guru di SMK Jengka 18, Bandar Jengka, kini dalam proses rawatan dan pemulihan meluahkan rasa syukur atas sumbangan yang diterimanya. “Bantuan ini memberikan harapan dan semangat untuk terus berjuang dalam menghadapi penyakit ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu beliau amat berterima kasih kepada suaminya kerana telah mendaftarkannya sebagai Ahli Skim Emas tanpa pengetahuannya.
Dalam masa sama, YGMB turut menyerahkan manfaat Khairat Kematian berjumlah RM8,000 kepada waris Allahyarham Mohd Zahari Mohd Noor iaitu Ahli Skim 16 yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Kedua-dua penyerahan tersebut telah disampaikan oleh Haji Shaiful-Azizi Sukri Mohd Kassim, Pegawai Pendidikan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Atabara Indera Mahkota.