KUBANG PASU, 28 November 2024 – Itulah pertanyaan yang sering diterima oleh Ustazah Noorhidayah Abd Aziz, 38, daripada anak bongsunya yang masih berusia lima tahun setiap kali tercari-cari keberadaan ayahnya itu di rumah.
Allahyarham Ustaz Akmal Amir Abd Wahab yang mengajar di SK Iboi Baling disahkan meninggal dunia pada usia 40 tahun akibat pendarahan usus besar pada Jun yang lalu.
Arwah dibawa ke hospital selepas jatuh pengsan di sekolah semasa menghadiri program di sekolah tempat beliau mengajar. Dalam tempoh itu, arwah telah ditidurkan selama lima malam.
Reda dan ikhlas atas pemergian teman hidupnya itu, Ustazah Noorhidayah berkata arwah pergi dalam keadaan yang sangat tenang serta raut wajah yang cukup berseri.
Beliau dalam nada yang cukup tenang turut menzahirkan rasa syukur dengan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 16 (AS16) berjumlah RM8,000 ini yang dapat membantu beliau untuk menampung pembelajaran anak-anak yang masih bersekolah.
Allahyarham Ustaz Akmal meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak yang berusia dalam lingkungan lima hingga 12 tahun.
Dalam majlis yang sama YGMB turut menyerahkan manfaat Khairat Kematian AS16 kepada waris Allahyarhamah Sabariah Abu Bakar yang meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Kedua-dua manfaat tersebut disampaikan oleh Mukhtar Mansor, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah PPD Kubang Pasu dalam satu majlis penyerahan manfaat yang diadakan di PPD Kubang Pasu, Kedah dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.