portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

KURUNG PUTIH PETANDA PELIK SEBELUM AJAL MENJEMPUT SURIANI

Galeri

KUALA TERENGGANU, 30 Mac 2023 – Perubahan ketara yang dialami Penyelia Asrama Kolej Vokasional Besut, Allahyarhamah Suriani Mat Sedek, 47 sebelum dijemput Ilahi disedari oleh rakan-rakan sekerja apabila dia menyarungkan pakaian berwarna putih pada hari kejadian memandangkan sebelum ini dia tidak menggemarinya.

Suaminya, Baharuzaman Ahmad, 49 berkata, arwah isterinya baharu saja membeli pakaian tersebut dan pertama kali memakainya pagi itu.

“Sebenarnya saya pun tidak perasan petanda tersebut sehingga dimaklumkan rakan-rakannya baru saya tersedar. Sebelum ini arwah memang betul-betul tidak suka warna putih, namun kali ini dia kata baju kurung itu cantik sangat dan mahu menyarungkannya.

“Tidak sangka pula, itulah pakaian terakhirnya sebelum dia sesak nafas dan rebah di pangkuan anak bongsu saya sebelum disahkan meninggal dunia petang itu. Jika diikutkan, semua orang sangat terkejut dengan pemergiannya yang dianggap secara tiba-tiba memandangkan dia tiada masalah kesihatan dan sentiasa kelihatan cergas,” ujarnya ketika ditemui dalam satu Majlis Iftar Ramadan bersama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dekat sini hari ini.

Walaubagaimanapun, bapa kepada empat cahaya mata itu akui amat sukar mengharungi kehidupan tanpa isteri tercinta terutamanya apabila bulan Ramadan datang menjelma.

“Sudah semestinya saya amat merindui masakan arwah yang tiada tolak bandingnya. Sudah hampir 24 tahun hanya masakannya menjadi kegemaran kami sekeluarga. Namun, saya dan anak-anak juga reda terutama si bongsu yang masih kecil amat cekal dalam mengharungi ujian ini,” katanya.

Terdahulu, waris Allahyarhamah Suriani menerima manfaat wang Khairat Kematian bernilai RM27,004.64 sebagai Ahli Skim 18 (AS18) YGMB yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan & Pengurusan PPD; Tuan Haji Awi Salleh sambil disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB; Zainuddin Muda dan Ketua Pegawai Eksekutifnya; Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam satu majlis di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah; Tuan Haji Azman Othman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran; Tuan Haji Kasman Embong dan Pegawai Pendidikan Daerah Besut; Tuan Haji Abdullah Zawawi Haji Yahya.

Dalam pada itu, Baharuzaman berkata dia tidak menyangka bahawa penyertaan arwah isterinya sebagai AS18 YGMB dalam tempoh tidak sampai setahun itu telah membolehkan mereka sekeluarga peroleh manfaat Khairat Kematian sebanyak RM27 ribu.

“Saya betul-betul terkejut sewaktu buat semakan di pejabat Angkasa selepas diberitahu anak buah saya berkaitan keahliannya dalam YGMB. Nilai sebesar ini saya akan gunakan sebaiknya buat anak-anak peninggalan arwah yang semuanya masih belajar,” tegasnya menutup kata.

Allahyarhamah Suriani meninggalkan empat orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan suaminya iaitu, Muhammad Aiman Hakim Baharuzaman; 23, Intan Maisara Najihah; 20, Intan Maisara Najuwa; 14 dan Muhammad Aiman Haziq; 8.