portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB SUMBANG KEPERLUAN ASAS, PERSEKOLAHAN KEPADA MANGSA BANJIR

Galeri

SEGAMAT, 6 Mac 2023 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyumbangkan keperluan asas dan persekolahan bernilai RM20,000 kepada keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, Chaah, di sini.

Pengerusinya, Tuan Haji Aminudin Adam berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk memberi bantuan segera dengan menghantar sumbangan berbentuk barangan keperluan asas termasuk makanan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.

“Ekoran bencana banjir yang menimpa negeri Johor, kami turut berasa terkesan apabila lebih 40,000 mangsa banjir terlibat.

“Keutamaan misi bantuan dari pihak YGMB ini untuk meringankan beban guru-guru dan keluarga yang terlibat di dalam kejadian banjir di kawasan ini.

“Bantuan ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) YGMB dalam usaha memelihara kebajikan warga pendidik,” katanya ketika ditemui di SK Seri Bali, hari ini.

Bantuan bencana banjir itu disampaikan oleh Aminudin kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk diserahkan kepada keluarga terlibat dengan banjir yang dipindahkan ke PPS tersebut.

Antara barangan keperluan asas yang disumbangkan ialah tepung, gula, kopi, sardin, kicap, susu, biskut, lampin pakai buang bayi dan dewasa, tuala wanita, ubat gigi, minyak masak dan lain-lain.

Sebanyak lima buah kenderaan pacuan empat roda berserta kenderaan YGMB digunakan untuk membawa barangan berkenaan dari Pejabat YGMB di Kuala Lumpur ke PPS tersebut. – UTUSAN