portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

50 AHLI YGMB TERIMA MANFAAT MUSIBAH BENCANA BANJIR

Galeri

KUALA NERUS, 12 Feb 2023 – Seramai 50 ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang terkesan dalam kejadian banjir di Terengganu, baru-baru ini menerima manfaat musibah bencana banjir, hari ini.

Setiap ahli YGMB terlibat menerima manfaat musibah bencana banjir sebanyak RM500.

Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam berkata, kesemua guru tersebut menerima manfaat bencana selepas mengemukakan permohonan kepada YGMB sebelum ini.

Menurutnya, permohonan tersebut dibuka kepada semua ahli YGMB yang terlibat banjir di seluruh negara.

Katanya, permohonan tersebut juga masih dibuka pendaftaran untuk memastikan ahli-ahli terlibat banjir tidak ketinggalan mendapatkan manfaat tersebut.

“YGMB percaya manfaat yang diterima itu dapat meringankan beban ahli-ahli yang terkesan dalam kejadian banjir, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Pembangunan ‘Learning Organization Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Sumbangan bagi yang terkesan bencana banjir Monsun Timur Laut 2022/2023 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Othman.

Aminudin memberitahu, ahli YGMB yang membayar yuran keahlian serendah RM10 sebulan layak menerima manfaat musibah banjir sebanyak RM500.

Sementara itu, seorang guru, Wan Manzura Wan Kamal, 59, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar di sini, berkata, beliau gembira menerima bantuan tersebut walaupun jumlah kerugian tersebut lebih besar.

Beliau yang tinggal di Kampung Losong Haji Long, berkata, bantuan yang diterima itu dapat meringankan beban keluarganya selepas kebanyakan perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak ditenggelami banjir.

“Rumah saya dinaiki air sedalam kira-kira satu meter selama tiga hari berturut-turut,” ujarnya.

Seorang lagi guru, Ismarul Wardi Abdullah, dari SK Felda Tenang, Besut, pula berkata, rumahnya di Taman Pulau Ribu dinaiki air kira-kira pukul 3 pagi dan penduduk di taman itu tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Saya menyertai YGMB sejak 20 tahun lalu dan saya terharu apabila menerima manfaat bencana banjir sebanyak RM500,” ujarnya. – UTUSAN