portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

“PENDERITAAN IBU TAMAT SETELAH LAPAN TAHUN MENANGGUNG SAKIT”

Galeri

W.P. PUTRAJAYA, 14 Februari 2025 – Itu luahan anak sulung kepada Allahyarhamah Dr. Zoolaiha Abd Rahman yang menderita penyakit kanser sejak tahun 2017 lagi.

Bukan sahaja menanggung satu jenis kanser, Allahyarhamah Dr. Zoolaiha menderita empat jenis kanser sejak lapan tahun lalu sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya akibat kesakitan yang ditanggungnya.

Bermula dengan kanser pangkal usus, arwah kemudian diserang sel kanser kolon, kanser rahim dan akhir sekali kanser tulang yang ditanggungnya sehingga menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

“Saat-saat terakhir sebelum arwah emak meninggalkan kami, arwah mula menangis dan meraung kesakitan sehingga tidak menyedari akan keberadaan anak-anak di sisinya,” ujar Nur Qurratuaini Arshad.

Tambah Nur Qurratuaini yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu, setelah ibunya meninggal dunia pada Disember lalu, kini beliau mengambil tanggungjawab untuk menjaga adik-adik terutamanya adik bongsu yang berusia 19 tahun.

“Saya dapat menyifatkan emak merupakan seorang wanita yang cekal, meskipun menghadapi dan berdepan dengan pelbagai ujian sewaktu hayatnya. Semangat yang ada pada dirinya membuat saya menjadi seorang anak dan kakak yang tabah lebih-lebih lagi adik bongsu saya adalah seorang kelainan upaya iaitu down syndrome.”

Allahyarhamah Dr. Zoolaiha yang berusia 57 tahun adalah pesara IAB dan berkhidmat di Bandar Enstek, Nilai juga merupakan Ahli Skim Emas sejak tiga tahun lalu.

Penyerahan manfaat Khairat Kematian berjumlah RM52,020.04 diserahkan kepada Nur Qurratuaini oleh Timbalan Pengerusi YGMB, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah pada satu majlis yang diadakan di SMKA Putrajaya Presint 11.

Dalam majlis yang sama, YGMB turut menyerahkan manfaat Khairat Kematian Mendiang Nan Choon Meng yang ditemui beberapa hari selepas beliau meninggal dunia di dalam rumahnya di Kuala Lumpur. Manfaat Khairat Kematian ASE berjumlah RM52,029.60 ini diterima oleh abangnya, Nan Choon Liang yang hadir dari Singapura.

Disediakan oleh,
Siti Mariam Nur Ulfah Zulkipli
Eksekutif Media YGMB
13/02/2025