portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

JAGA ADIK-ADIK, JANGAN PISAHKAN MEREKA

Galeri

KOTA BHARU, 20 Februari 2025 – Itu amanah terakhir Allahyarhamah Roslina Mat Rifin kepada anak sulungnya, Myra Irfa yang berusia 23 tahun sebelum beliau meninggal dunia pada September tahun lalu.

Allahyarhamah Roslina yang merupakan ibu tunggal sejak kematian suaminya pada 2010 itu tidak pernah menghidap sebarang penyakit kronik dan disifatkan oleh anaknya sebagai wanita yang tabah dan cekal lebih-lebih lagi membesarkan mereka adik-beradik dengan penuh kasih-sayang.

Myra Irfa yang baru sahaja menghabiskan pengajian dalam bidang Diploma Seni Kulinari itu kini akan menggalas tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga adik-adiknya yang berusia 15 dan 10 tahun itu sehingga berjaya.

“Amanah ini akan saya pegang sampai bila-bila. Saya tidak akan mengecewakan mama walaupun kedua-dua adik saya adalah anak angkat, namun mama tidak pernah membezakan kasih sayang di antara kami serta telah mempersiapkan segalanya untuk kami adik-beradik sebelum beliau meninggal dunia. Pesan mama untuk saya besarkan adik-adik dan tidak mahu kami terpisah akan saya tunaikan.” ujar Myra Irfa.

Allahyarhamah Roslina meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang akibat pembuluh darah kepala pecah. Sehubungan itu, Myra Irfa hari ini menerima manfaat Khairat Kematian ibunya yang merupakan Ahli Skim 18 berjumlah RM27,023.49.

Dalam majlis yang sama, suami kepada Allahyarhamah Azida Juliana Daud, iaitu Muhammad Nordin menerima manfaat Khairat Kematian berjumlah RM27,000.12. Allahyarhamah Azida Juliana meninggal dunia akibat pendarahan otak pada usia 47 tahun.

Kedua-dua penyerahan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji Aminudin Adam, Pengerusi YGMB dan Dato’ Abdul Muei Ngah, Timbalan Pengerusi. Semoga dengan penyerahan manfaat Khairat Kematian ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban waris yang ditinggalkan.

 

       

Disediakan oleh,

Siti Mariam Nur Ulfah Zulkipli 

Eksekutif Bahagian Sumber Maklumat dan Media 

YAYASAN GURU MALAYSIA BERHAD