KOTA BHARU, 3 September 2025 – Yayasan Guru Malaysia telah menyerahkan manfaat Khairat Kematian berjumlah lebih RM130,000 kepada waris yang telah dinamakan oleh ahli ketika hayat mereka, dalam satu majlis yang berlangsung bersempena Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di Hotel Grand River View, Kota Bharu.
Dalam majlis tersebut, YM Raja Nur Anis Syahira Raja Azman, puteri kepada Allahyarham Raja Azman Raja Ibrahim hadir menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas arwah ayahnya berjumlah RM52,025.97. Allahyarham yang merupakan mantan Pengetua Maktab Sultan Ismail telah menghembuskan nafas terakhir pada Jun lalu akibat serangan jantung.
Turut menerima manfaat ialah isteri kepada Allahyarham Mohamed Nazim Ismail, 59, Pengetua SMK Panching, Kuantan, yang meninggal dunia pada Mei yang lalu di Sultan Ahmad Medical Centre akibat komplikasi jantung. Hadir ketika majlis penyerahan tersebut ialah anak perempuan Allahyarham iaitu Anis Nadhirah Mohamed Nazim yang menerima manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas berjumlah RM52,005.68.
Manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 18 pula diserahkan kepada waris Allahyarham Rosman Zakaria, 55, guru di SM Ugama (Arab) Mardziah, Tumpat, yang meninggal dunia akibat sakit jantung. Isterinya, Rozita Yusoff, selaku waris utama, menerima manfaat berjumlah RM27,058.09. Allahyarham meninggalkan seramai tujuh orang cahaya mata.
Majlis penyerahan cek cura manfaat Khairat Kematian ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi YGMB, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

