KOTA KINABALU, 20 NOVEMBER 2025 – Yayasan Guru Malaysia hari ini menyerahkan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas berjumlah lebih RM100,000 kepada dua waris dalam satu majlis yang diadakan di sini.
Dalam majlis tersebut, Abdul Latip, suami kepada Allahyarhamah Rusimah Sairudin, meluahkan rasa syukur dan hiba apabila menerima manfaat Khairat Kematian berjumlah RM52,033.91. Beliau turut menyatakan hasrat untuk menggunakan sebahagian daripada manfaat itu bagi mengerjakan badal haji buat isteri tercinta.
Allahyarhamah Rusimah, Guru Prasekolah SK Ulu Sipitang, telah menghembuskan nafas terakhir pada Mei lalu akibat angin ahmar pada usia 54 tahun. Arwah sebelum ini menghidap kencing manis selepas kelahiran anak bongsu pada tahun 2004 dan tetap tabah menjalani kehidupan seharian. Pada Mac lalu, beliau turut disahkan mengalami masalah buah pinggang dan jantung sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth II.
Pada majlis yang sama, Yayasan Guru Malaysia turut menyerahkan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim Emas kepada Rusmina Sari, isteri kepada Allahyarham Sabli Sitam, Guru Besar SK Pengalat yang meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya pada Jun lalu.
Beliau menerima manfaat berjumlah RM52,014.51 dan memaklumkan bahawa arwah suaminya tidak menghidap sebarang penyakit, sebaliknya hanya mengalami sakit ringan seperti batuk, selesema dan demam.
Allahyarham Sabli meninggalkan seorang anak dan isteri yang turut merupakan Ahli Skim Emas. Rusmina Sari turut menzahirkan rasa syukur kerana dengan manfaat yang diterima, beliau juga berhasrat mengerjakan badal haji buat suami tersayang.
Penyerahan cek cura manfaat telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah, dengan diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Haji Abidin Marjan.

