portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN

Galeri

SHAH ALAM, 13 April 2023 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) akan terus memperkasakan kebajikan guru di seluruh negara terutama berkaitan aspek penjagaan kesihatan dan perundangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, ini bagi memenuhi keperluan semasa warga pendidik mengikut keadaan masa kini.

“Kalau mengikut perkembangan semasa berdasarkan skim keahlian YGMB didapati kebelakangan ini isu penjagaan kesihatan terutama berhubung penyakit kritikal semakin meningkat.

“Ini terutama kes penyakit kritikal seperti kanser dan serangan jantung dan berdasarkan statistik kami adalah melibatkan guru berusia 35 hingga 50 tahun,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat 2023 (Imtiyaz) di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam menyerahkan Zakat Perniagaan yayasan itu yang berjumlah RM120,737 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Wan Munadi menjelaskan pemfokusan dalam aspek perundangan susulan ketika ini apabila didapati ada guru yang berdepan dengan tindakan undang-undang seperti disaman atau sebagainya.

Ujar beliau, YGMB sememangnya ada menyediakan khidmat bantuan guaman bagi membantu golongan berkenaan.

“Justeru itu, kita sentiasa menggerakkan usaha-usaha bertemu secara bersemuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri malah di peringkat sekolah sekalipun.

“Ini bagi memastikan kita mengetahui apa lagi yang boleh dibantu dalam aspek kebajikan dan perlindungan kepada guru-guru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, pemberian zakat berkenaan berdasarkan sebahagian hasil keuntungan usaha niaga kumpulan yayasan ini.

“Menerusi hasil keuntungan ini, kita berharap peranan YGMB terus diperkasakan sebagai institusi yang berperanan untuk memelihara kebajikan warga pendidik di samping membantu memartabatkan profesion keguruan negara,” tegasnya.