portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB SALUR MANFAAT SKIM KEAHLIAN SEBANYAK RM25 JUTA SEJAK 1994

Galeri

KULAI – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyalurkan sejumlah RM25 juta kepada penerima di bawah pelbagai kategori manfaat skim keahlian yang disediakan kepada guru-guru di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, sumbangan berkenaan disampaikan yayasan tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1994 lalu.

Menurut beliau, peruntukan yang diterima ahli melibatkan lebih daripada 35 kategori termasuk penyakit kritikal, bencana, elaun hospital, hadiah kelahiran anak dan juga hadiah persaraan.

“Sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB telah menyalurkan manfaat kepada ribuan ahlinya melibatkan pelbagai kategori, di mana sumbangan disalurkan berjumlah kira-kira RM25 juta.

“Manfaat yang disalurkan pula antara RM200 melibatkan pelbagai hadiah peristiwa sehingga RM100,000 melibatkan penyakit kritikal dan keilatan kekal menyeluruh akibat kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Penyampaian Manfaat Kebajikan kepada Ahli YGMB di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Yusof Katmi.

Sementara itu, Wan Munadi turut memberitahu, pihaknya menyasarkan keahlian seramai kira-kira 50 peratus daripada jumlah keseluruhan guru-guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Buat waktu ini, jumlah keahlian berdaftar dengan yayasan ini adalah seramai 120,000 orang, walaupun jumlah itu kelihatan ramai namun sebenarnya ia masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah guru-guru keseluruhannya.

“Oleh itu, kita memasang sasaran untuk meningkatkan jumlah keahlian kepada kira-kira 50 peratus jumlah guru di negara ini. Untuk mencapai perkara itu, kita akan melakukan pelbagai program di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran guru-guru tentang manfaat menyertai YGMB,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Munadi turut memberitahu pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada lebih 300 ahlinya di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akibat bencana banjir, baru-baru ini.

“Buat ahli di negeri ini (Johor) pula, kita sedang melakukan semakan akhir sebelum bantuan disalurkan. Oleh itu kita berharap mana-mana ahli yang terjejas akibat banjir baru-baru ini untuk membuat laporan bencana kepada YGMB,” jelasnya.