portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

SEMPAT SEDIAKAN HADIAH SEBELUM MENINGGAL DUNIA, CIKGU ROHANI SANTUNI ANAK MURID HINGGA HUJUNG USIA

Galeri

KUANTAN, 4 Mei 2023 – “Arwah kakak sempat mengajak saya menemaninya untuk membeli makanan ringan dan jajan untuk dijadikan sebagai hadiah buat anak-anak muridnya dua minggu sebelum dia menemui ajal,” demikian kata Zairul Akman Mat Sam, 42 adik bongsu kepada Allahyarhamah Rohani Mat Sam, 50 yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu akibat kanser pankreas.

Zairul yang juga bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, arwah kakaknya seorang yang sangat gemar memberi sedekah makanan kepada orang sekeliling terutamanya kepada anak didiknya di sekolah.

“Saya boleh katakan, hampir setiap hari arwah akan bekalkan sarapan pagi yang dimasak sendiri buat anak-anak muridnya demi memastikan mereka mendapat tenaga dan bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran di sekolah.

“Perkara ini diibaratkan seperti rutin harian yang tidak boleh ditinggalkan meskipun dia berada dalam keadaan yang tidak begitu sihat kesan daripada rawatan kimoterapi. Antara bekalan yang sering dibawanya ialah roti sandwich, bihun goreng, nasi goreng dan pelbagi lagi,” jelasnya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Manfaat Keahlian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dekat sini hari ini.

Jelasnya lagi, hasil tangan dan masakan arwah menjadi antara kenangan yang paling dirindui memandangkan kakaknya itu juga sering menjamu seisi keluarga setiap kali dia menyediakan juadah.

Zairul turut berkongsi rasa sebak apabila mengetahui arwah kakaknya turut menyediakan sejumlah wang buatnya dan seorang lagi kakak untuk mengerjakan ibadah umrah.

Zairul mewakili waris keluarga Allahyarhamah Rohani menerima wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 (AS16) bernilai RM8,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pekan; Tuan Haji Mohd Razali Mustafar sambil diiringi Timbalan PPD Sektor Pengurusan Sekolah; Mustafa Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB; Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dekat sini hari ini.

Allahyarhamah Rohani merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kerayong, Bera disahkan menghidap penyakit kanser sejak awal tahun 2021. Rohani yang tidak dikurniakan cahaya mata itu turut hidup bersendirian setelah kematian arwah suaminya lima tahun lalu.