portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

CIKGU ASOHAN ZAHIR RASA SYUKUR, YGMB PROAKTIF BANTU WARIS AS18

Galeri

HULU TERENGGANU, 17 Jul 2022 – Tindakan proaktif daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dalam menyampaikan manfaat kebajikan kepada waris keluarga mereka amat disyukuri oleh suami Allahyarhamah Cikgu Noor Azuan Abdul Rahman, 51 iaitu Cikgu Asohan Embong, 50.

Cikgu Asohan yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam itu berkata, dia benar-benar tidak sangka setiap proses tuntutan manfaat yang dibuat terhadap YGMB berlangsung dengan mudah dan lancar tanpa perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi.

“Saya hanya mengetahui arwah isteri sebagai Ahli Skim 18 (AS18) YGMB sewaktu menyemak dokumen-dokumen peninggalannya tempoh hari. Jadi, saya cuba cari maklumat di laman web rasmi dan terus hubungi pihak YGMB untuk proses lanjutan. Saya hanya perlu tunggu dalam tempoh kurang dari sebulan untuk menerima wang khairat kematian tersebut hari ini.

“Saya amat bersyukur kerana wang tersebut boleh saya masukkan ke dalam dana pendidikan anak-anak saya bersama arwah yang kesemuanya masih belajar. Semoga ia mampu memberi manfaat kepada mereka semua,” ujarnya tenang.

Mengulas lanjut, Asohan turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada pihak YGMB yang sentiasa berupaya menjaga kebajikan ahli-ahlinya dan dia turut menasihati agar lebih ramai warga pendidik untuk turut serta mendaftarkan diri sebagai ahli YGMB.

Dalam pada itu, Asohan turut mengakui masih berada dalam tempoh menyesuaikan diri bersama anak-anak untuk teruskan kehidupan bersama sejak pemergian arwah isteri tercinta.

“Sebenarnya memang sukar untuk kami terima ujian berat ini pada mula-mula dahulu. Anak-anak pula semuanya cukup rapat dengan ibu mereka. Namun, kami semua berusaha keras setiap hari untuk menerimanya dengan reda. Alhamdulillah, hari demi hari saya dapat lihat anak-anak juga bijak mengawal emosi mereka meskipun kami amat rindukan arwah,” katanya.

Terdahulu, Asohan yang juga merupakan Ahli Skim 16 YGMB hadir sebagai waris Allahyarhamah Cikgu Noor Azuan menerima wang Khairat Kematian AS18 dan wang Khairat Kematian Pasangan AS16 berjumlah RM28,022.32 dalam satu Majlis Penyampaian di Desa Taqwa, Kuala Telemong dekat sini hari ini.

Wang Khairat Kematian tersebut disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Tuan Haji Muie Ngah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Allahyarhamah Noor Azuan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 5 April bersamaan 2 Ramadan lalu. Beliau meninggalkan suami beserta lima orang anak iaitu, Ain Najwa Asohan; 21, Amin Najmi;20, Aris Nazhin; 17, Alif Naufal; 16 dan Ahmad Azam Nais; 8.