portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

WARIS CIKGU SUKERIAH SEBAK TERIMA RM27 RIBU KHAIRAT KEMATIAN AS18 YGMB

Galeri

KUALA TERENGGANU, 18 Jul 2022 – Suami Allahyarhamah Cikgu Sukeriah Mat Jusoh, 46 sebak apabila menerima wang Khairat Kematian isterinya sebagai Ahli Skim 18 (AS18) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dekat sini hari ini.

Wan Mohd Azizi Wan Isa, 44, berkata dia bersyukur kerana sedikit sebanyak wang peninggalan arwah isterinya itu mampu membantu dirinya mengurus ekonomi keluarga termasuklah urusan pendidikan serta masa depan anak-anak mereka.

“Selepas dia meninggal dunia tempoh hari, saya hanya berusaha untuk menyemak hutang piutang yang perlu saya langsaikan namun tidak pula saya sangka hasil keahliannya dengan YGMB membolehkan kami sekeluarga menerima manfaat sebanyak ini.

“Bagaimanapun, sudah semestinya wang tersebut akan digunakan sebaiknya untuk meneruskan kehidupan anak-anak yang semuanya masih bersekolah. Anak-anak pun mahu melanjutkan pengajian dan berjaya seperti arwah umi mereka, jadi itulah tanggungjawab saya untuk memastikan cita-cita mereka tercapai kelak,” tegasnya.

Dalam pada itu, bekas warden penjara itu turut akui sukar untuk menggalas tanggungjawab sebagai bapa tunggal secara tiba-tiba.
“Saya kini masih tinggal bersama keluarga mertua kerana anak-anak terutama yang bongsu masih belum boleh pulang ke rumah sendiri kerana teringatkan kenangan bersama arwah.

“Banyak perkara juga yang perlu saya belajar untuk menguruskan keperluan harian anak-anak. Namun begitu, saya bersyukur kerana masih ada keluarga terutama mertua yang membantu saya ketika ini,” ujarnya tenang.

Terdahulu, Wan Mohd Azizi hadir sebagai waris Allahyarhamah Cikgu Sukeriah menerima wang Khairat Kematian AS18 YGMB bernilai RM27,009.46 yang disampaikan oleh Tuan Haji Tun Mohd Salim Tun Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam satu Majlis Penyerahan dekat sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah, Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Allahyarhamah Sukeriah yang juga guru Pendidikan Khas di Sekolah Rendah Khas Kanak-Kanak Cacat Pendengaran, Kuala Terengganu meninggal dunia akibat serangan jantung pada 13 Mei lalu.

Sukeriah meninggalkan suami beserta empat orang cahaya mata iaitu, Wan Fatihi Nain; 18, Wan Fatin Qistina; 17, Wan Fatihi Mu’min; 15 dan Wan Fatin Badriyya Soleha; 7.