portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB TERUS UNGGUL TINGKATKAN KUALITI PROFESIONALISME WARGA PENDIDIK

Galeri

KEMAMAN – “Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menjadi satu-satunya badan yang saya lihat sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan mereka terutama sekali dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan warga pendidik” tegas mantan Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohamad Nawawi Rani, 60 yang ditemui dekat sini baru-baru ini.

Mohamad Nawawi yang juga merupakan Ahli Seumur Hidup (ASH) YGMB sejak awal penubuhannya berkata, dia melihat banyak perubahan dan strategi baharu diatur oleh pihak YGMB sejajar dengan keperluan semasa warga pendidik dan ia amat ketara apabila jumlah penyertaan keahlian mereka juga semakin hari semakin memberangsangkan.

“Saya boleh katakan YGMB kini lebih sistematik dalam menyusun rangka strategik khususnya dalam menyampaikan manfaat mereka sejajar dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan itu sebenarnya menarik keyakinan lebih ramai ahli mereka pada hari ini.

“Pihak YGMB yang saya lihat sentiasa mempelbagaikan aktiviti bagi memastikan profesionalisme para guru berada pada tahap yang membanggakan terutama sejak pandemik melanda negara. Terbaharu, di Terengganu sendiri YGMB pernah berkoleborasi dengan Yayasan Pesona milik Ikon Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), Datuk Aznil Haji Nawawi bagi memantapkan skil pengajaran dan pembelajaran warga pendidik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Nawawi sentiasa berharap agar warga pendidik di seluruh Terengganu khususnya di Marang untuk sentiasa berusaha memberi sokongan jitu kepada YGMB dalam memastikan kebajikan mereka terbela. Hal ini kerana, pelbagai manfaat ditawarkan bagi membela nasib warga pendidik termasuklah Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

“Sebenarnya apabila banyak aktiviti serta kualiti perkhidmatan ditingkatkan sebeginilah mampu menambah keyakinan warga pendidik untuk saling bergantung dengan pihak yang diyakini boleh membantu mereka ketika berdepan dengan cabaran sebagai pendidik. Saya amat berharap agar lebih ramai boleh membuka mata dan hati untuk turut serta menjadi ahli YGMB kerana saya sendiri hingga ke hari bersara masih menikmati manfaat daripada mereka,” tegasnya.

Terdahulu, Mohamad Nawawi yang bersara pada 20 Mei tahun ini ditemui dalam Majlis Penyerahan Hadiah Persaraan sebagai ASH YGMB di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, dekat sini baru-baru ini. Dalam majlis sama, dua orang Ahli Skim Emas (ASE) YGMB yang sama-sama menamatkan perkhidmatan tahun ini turut menerima hadiah persaraan mereka iaitu PPD Kuala Nerus, Hamid Yahya dan Mantan PPD Kemaman, Idris Bidin.

Wang Hadiah Persaraan tersebut disampaikan oleh Timbalan PPD Kemaman, sambil disaksikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.