portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:00 PETANG

Galeri

PENUNGGANG MOTOSIKAL PERLU LEBIH BERWASPADA – CIKGU MOHAMMAD SHAFIQ

Galeri

PASIR GUDANG – “Penunggang motosikal perlu lebih berwaspada berbanding pemandu kereta kerana jika berlaku kemalangan sudah semestinya penunggang motor yang akan mengalami kecederaan lebih teruk berbanding mereka,” demikian luah guru Bahasa Melayu di SK Pasir Gudang 4, Cikgu Mohammad Shafiq Shafie, 30.

Beliau berkata demikian sewaktu mengimbau semula detik cemas yang dilaluinya awal tahun ini apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah kereta sehingga mencederakan dirinya bersama anak perempuannya yang baharu berusia dua tahun.

“Kemalangan tersebut berlaku sewaktu saya sedang membawa anak bersiar-siar di kawasan taman perumahan sahaja. Benarlah pepatah mengatakan ‘malang tidak berbau’ apabila tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari arah simpang bertentangan melanggar kami.

“Ketika itu saya fikir keadaan anak sahaja. Kami berdua mengalami kecederaan ringan dan gigi anak saya patah akibat hentakan kuat apabila terjatuh daripada motosikal itu. Motor saya juga rosak teruk. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana kedua-dua kami selamat.

“Sebab itu saya katakan, sebagai penunggang motosikal ini, kita sememangnya perlu lebih berhati-hati. Hal ini demikian kerana, sekiranya kita dilanggar, kita yang akan sakit dan jika kita yang melanggar, kita juga yang akan cedera,” ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, Syafiq turut meluahkan rasa syukur apabila anaknya tidak mengalami sebarang trauma kesan daripada kemalangan tersebut. Meskipun anaknya masih kecil, dia masih boleh menaiki motosikal selepas kejadian ngeri menimpa dirinya awal tahun dahulu.

Cikgu Syafiq ditemui ketika menghadiri Majlis Penyampaian Manfaat Kemalangan Jalan Raya sebagai Ahli Skim 16 Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Sunway College dekat sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, dia menerima wang tunai bernilai RM5,143.30 yang disampaikan sendiri oleh Pengerusi YGMB, Tuan Haji Aminudin Adam sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah; Tuan Haji Anuar Sukiran dan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran; Tuan Haji Shahilon Abdul Halim.

“Sebenarnya saya tidak sangka langsung boleh terima manfaat YGMB dengan nilai yang besar seperti ini setelah terbabit kemalangan tempoh hari. Jika diikutkan, kemalangan tersebut telah lama berlalu, namun saya hanya mencuba nasib.

“Alhamdulillah, tempoh kemalangan tersebut masih dalam waktu yang membolehkan saya menerima manfaatnya hari ini. Sedikit sebanyak, saya boleh menikmatinya untuk masa mendatang. Terima kasih banyak saya ucapkan kepada YGMB,” katanya.