KLUANG – “Allahyarham Ustaz Hatta Kaspin, 50 tetap terus bersemangat dan berulang alik ke sekolah meskipun hanya menggunakan kerusi roda memandangkan kedua-dua kakinya telah dipotong sejak beberapa tahun lalu,” kata mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kg. Tengah, Hasnah Abd. Ghani, 58.
Hasnah berkata, Ustaz Hatta tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pendidik serta sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik buat anak-anak muridnya walaupun pergerakannya agak terbatas.
“Sebelum ini, arwah akan dihantar oleh ibu dan bapanya yang sudah uzur untuk ke sekolah. Namun, beberapa bulan sebelum meninggal dunia, dia sempat mengubahsuai kereta mengikut keadaannya dan berjaya memandunya ke sekolah setiap hari. Itu membuktikan kesungguhannya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru di sini.
“Memandangkan keadaan dia agak terbatas, kami di sekolah juga hanya tempatkan bilik mengajarnya di dewan dan murid-murid akan ke sana untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama Ustaz Hatta. Cuma, dia tidak dapat mengikuti aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah sekiranya memerlukan pergerakan banyak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hasnah turut mengakui pemergian Hatta sebagai satu kehilangan besar buat warga sekolah memandangkan sehingga hari ini masih belum ada pengganti guru bagi subjek Bahasa Arab yang diajarnya dulu.
“Sehingga kini, pihak sekolah masih belum ada pengganti arwah lagi bagi subjek Bahasa Arab dan tasmik yang diajarnya. Memandangkan dengan situasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lagi, memang kita kekurangan guru dan agak mencabar untuk mengatur murid-murid.
“Sejujurnya, kami memang agak terkejut dengan pemergiannya awal tahun ini iaitu sebulan sebelum saya bersara tempoh hari. Memang kami tahu dia ada sakit kencing manis, tetapi keadaannya tidak menunjukkan dia begitu teruk sehingga boleh terus mengajar seperti biasa. Namun sudah tertulis, ajalnya sudah tiba,” ujarnya.
Menurut Hasnah lagi, Hatta pernah menerima sumbangan dua kaki palsu daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) pada tahun 2018.
Allahyarham Ustaz Hatta yang meninggal dunia akibat kegagalan organ pada 28 Januari lalu meninggalkan dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Ismanorbiha Takati iaitu Hafizul Hazeq, 13 dan Hafizul Hares, 10.
Dalam pada itu, waris Ustaz Hatta menerima wang Khairat Kematian sebagai Ahli Skim 18, YGMB bernilai RM27,004.18 yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Md Said Md Daimon sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama ialah Guru Besar baharu SK Seri Kg. Tengah yang menggantikan Hasnah, Norizam Mohd Junid.
Dalam majlis sama, Md Said yang juga Yang Dipertua Majlis PPD Kebangsaan menyerahkan borang penyertaan keahlian Skim Emas nya kepada Wan Munadi sebagai tanda sokongan terhadap skim yang memberi perlindungan kepada warga pendidik sehingga mencapai umur 80 tahun.