portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB SERAH KHAIRAT KEMATIAN AHLI DI KUBANG PASU

Galeri

KUBANG PASU, 30 Mac 2021 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyerahkan wang khairat kematian keahlian kepada waris Ahli Skim 18, Allahyarhamah Rusmawati Abdul Hamid, 51 bernilai RM27,004.64 dekat sini hari ini.

Rusmawati yang disahkan meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 2 Jun tahun lalu meninggalkan suami, Mohamad Yusoff Ahmad berserta tiga orang anak.

Sebelum ini, arwah yang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan Sg. Menghulu, Langkawi itu pernah menerima wang manfaat keahlian iaitu Insentif Pendidikan Anak ke IPT pada tahun 2015.

Anak sulungnya, Nor Syahida Mohamad Yusoff 28 berkata meskipun bersedih dengan kehilangan arwah ibu, namun mereka tetap bersyukur apabila arwah menjadi ahli YGMB dan menerima manfaat bagi meneruskan kehidupan mendatang.

“Arwah ibu pernah beritahu tentang keahliannya dalam YGMB. Namun kami tidak begitu ambil tahu sebelum ini. Hari ini, tidak disangka kami menerima wang khairat kematian arwah.

“Kami bersyukur kerana sedikit sebanyak wang tersebut dapat membantu kami meringankan bebanan dan meneruskan kehidupan setelah pemergiannya. Terima kasih juga saya ucapkan kepada YGMB yang hadir bagi menyerahkan wang ini,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Jitra hari ini.

Wang Khairat Kematian tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Tuan Haji Mahadhir Ismail sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Sementara itu, turut disampaikan dalam majlis tersebut wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 kepada waris Allahyarham Mohamad Shukri Mat Saad, 50 dan waris Allahyarham Ahmad Hanif Ismail, 44 masing-masing bernilai RM8,000.