portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

50 AHLI YGMB DI JOHOR BERSYUKUR TERIMA SUMBANGAN MANFAAT BENCANA BANJIR

Galeri

SEGAMAT: Ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bersyukur menerima sumbangan berjumlah RM500 seorang setelah kediaman mereka terjejas banjir pada Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, bantuan itu disalurkan kepada 50 guru ahli YGMB di Johor yang terkesan banjir.

“Walaupun bencana banjir sudah lama berlalu, pihak kami amat bersimpati dan mengambil berat untuk meringankan beban guru yang ditimpa bencana alam itu.

“Justeru, pihak YGMB menyumbangkan sebanyak RM500 kepada kepada mangsa banjir (guru) terbabit,” katanya pada Majlis Hi-Tea Bersama Penerima Manfaat Bencana Banjir YGMB di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Ahmad Taufik Hamzah.

Pihak YGMB turut berterima kasih kepada semua agensi dan pihak yang membantu keluarga guru dan kakitangan pendidikan mangsa banjir di Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Mersing tempoh hari.

“Keutamaan sumbangan daripada pihak YGMB ini untuk meringankan beban guru-guru dan keluarga yang terlibat di dalam kejadian banjir di kawasan itu.

“Sumbangan ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) YGMB dalam usaha memelihara kebajikan warga pendidik,” tambahnya.

Pada Mac lalu, YGMB menyumbangkan keperluan asas dan persekolahan bernilai RM20,000 kepada keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, Chaah, di sini.

Pihak YGMB mengambil inisiatif untuk memberi bantuan segera dengan menghantar sumbangan barangan keperluan asas termasuk makanan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.