portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

KELUARGA SEBAK, PEMBANTU TADBIR TEMUI AJAL PADA HARI LAHIR AKIBAT KANSER

Galeri

KUCHING – “Arwah ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat jam 12.15 pagi 8 Februari lalu iaitu pada tanggal hari kelahirannya yang ke-56. Itulah perkara yang paling sedih dan tidak dapat kami sekeluarga lupakan,” jelas Nur Aaqilla Nazieha Azhar Ahmad, 21 yang merupakan anak kedua Pembantu Tadbir SMK Penrissen, Allahyarhamah Menah Keli, 56 yang meninggal dunia akibat kanser darah (leukemia) awal tahun ini.

Nur Aaqiella berkata, arwah ibunya merupakan pejuang kanser untuk kali kedua selepas didiagnos menghidap penyakit berbahaya itu pada tahun 2020.

“Sebenarnya ini kali kedua arwah diserang kanser selepas bebas dari penyakit itu selama setahun. Pada awal 2020 yang lalu, dia menghidap kanser payudara dan telah menjalani segala prosedur kemoterapi dan pembedahan.

“Sesungguhnya kami memang tidak sangka kanser sekali lagi datang menyerang badannya awal tahun ini pula. Bermula dengan keadaan dia yang semakin lemah pada penghujung tahun lalu membawa petanda rupanya dia diserang oleh kanser darah pula. Bagaimanapun, semangat yang ditunjukkan dalam berjuang melawan kanser tidak dapat kami lupakan,” tegasnya ketika ditemui dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Aaqiella yang merupakan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sarawak dalam jurusan Pemasaran itu berkata, dia harus menjadi kuat memandangkan dia merupakan anak perempuan pertama dan rapat dengan arwah ibunya.

“Sepanjang arwah sakit, saya sentiasa menemaninya untuk mendapatkan rawatan. Saya juga menjadi orang yang melihat bagaimana tumor itu merebak daripada kecil menjadi besar. Jadi, saya perlu menjadi kuat untuk memastikan emosi arwah ibu dan keluarga tidak terjejas.

“Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana dikelilingi oleh kaum keluarga yang banyak membantu memandangkan adik-adik saya juga masih belajar dan bapa pula telah bersara,” ujarnya sebak.

Terdahulu, waris Allahyarhamah Menah menerima Wang Khairat Kematian Ahli Skim 16 (AS16) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM8,000 yang disampaikan dekat sini baru-baru ini.

Allahyarhamah Menah Keli meninggalkan suami, Azhar Ahmad bersama lima orang anak iaitu Muhammad Ariff Aizzard; 22, Nur Aaqilla Nazieha;21, Nur Aleesha Nabila; 18, Nur Balqish Najwa; 15 dan Muhammad Irfan Danish; 10.