portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB SANTUNI BALU PESARA GURU DITEMUI SELEPAS LIMA HARI MENINGGAL DUNIA

Galeri

KUALA TERENGGANU, 10 Julai 2023 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyantuni balu pesara guru, Allahyarham Mustaffa Abdul Ghani, 67 yang ditemui meninggal dunia dengan tubuh berselimut selepas lima hari.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya terus membuat semakan status keahlian sebaik sahaja berita kematian pesara itu tular baru-baru ini bagi memastikan bantuan manfaat dapat disalurkan sepantas kilat kepada waris.

“Pihak YGMB sentiasa peka sekiranya berlaku sebarang kejadian terhadap guru-guru di seluruh negara. Kami akan terus membuat semakan dengan menghubungi pihak tertentu terutama waris bagi memastikan sama ada mereka merupakan ahli kami atau tidak.

“Hal ini amat penting agar waris tidak tercicir daripada memperolehi manfaat yang disediakan terutama ketika dalam keadaan memerlukan,” tegasnya ketika ditemui dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang pesara guru ditemui meninggal dunia dalam keadaan berselimut di kediamannya seorang diri dan hanya ditemui selepas lima hari. Namun, kejadian itu tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Justeru itu, Wan Munadi turut mengingatkan kepada seluruh warga pendidik khususnya guru-guru dan waris agar peka dengan diri mahupun waris sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sebenarnya, hal seperti ini bukan pertama kali berlaku. Jadi, saya menyeru agar semua warga pendidik yang telah daftar keahlian dengan kami untuk sentiasa semak dan ambil tahu tentang keahlian masing-masing dan segeralah membuat tuntutan sekiranya memerlukan. Manfaat yang kami tawarkan sentiasa tersedia mengikut kelayakan kategori keahlian masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, balu kepada Allahyarham Mustaffa iaitu Che Noor Mohd, 54 meluahkan rasa sebak dan sayu apabila menerima wang khairat kematian Ahli Seumur Hidup (ASH) YGMB arwah suaminya dekat sini hari ini.

“Sebenarnya saya masih terkejut dengan pemergian arwah yang boleh dianggap secara tiba-tiba memandangkan keadaannya sebelum saya pergi ke rumah anak memang berada pada tahap yang baik. Berbeza dengan saya yang mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis dan buah pinggang ini.

“Walaubagaimanapun, saya redha dengan ketentuan Ilahi. Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada pihak YGMB yang sudi hadir ke rumah saya hari ini,” ujarnya sebak.