portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

YGMB SEDIA BANTUAN GUAMAN SEHINGGA RM30,000 BANTU GURU

Galeri

MARAN: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyediakan khidmat bantuan guaman sehingga RM30,000 kepada warga pendidik yang berdepan kes-kes di mahkamah.

Perkhidmatan bantuan guaman tersebut disediakan melalui dua skim yang ditawarkan oleh YGMB iaitu Skim Emas dan Skim 18.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat berkata, pelbagai kes dibawa ke mahkamah melibatkan guru-guru termasuk yang dikatakan kecuaian atau di luar kawalan guru pada masa ini menyebabkan peranan guru lebih mencabar dan sentiasa terdedah dengan pendakwaan di mahkamah.

“YGMB sebagai institusi yang berperanan menjaga kebajikan guru-guru, kita peka dengan isu-isu seperti ini sebab itu dalam salah satu manfaat atau perkhidmatan yang kita tawarkan ialah menyediakan khidmat bantuan guaman.

“Kita ada menyediakan kos sehingga RM30,000 bagi membolehkan guru-guru yang berdepan dengan isu-isu seperti itu, yang berkait dengan perkhidmatannya mendapat pembelaan sewajarnya melalui khidmat bantuan guaman,” katanya pada program Hari Profesional Pejabat Pendidikan Daerah Maran yang dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Munadi, melalui bantuan tersebut, guru-guru boleh memilih peguam untuk mewakili mereka dengan kos maksimum sehingga RM30,000 atau menyerahkan kepada YGMB bagi urusan pelantikan peguam.

Katanya, setakat ini kira-kira 120,000 warga pendidik seluruh negara menyertai empat skim keahlian yang disediakan.

Sementara itu Mohamad Rosli berkata, guru-guru khususnya guru muda digalakkan menyertai skim ditawarkan YGMB kerana ia memberikan pelbagai manfaat.

Ujarnya, meskipun sambutan daripada guru di negeri ini terhadap skim YGMB adalah baik, namun pelbagai program dan promosi perlu terus dipergiatkan bagi menarik minat guru-guru menyertainya. – UTUSAN