portal@ygmb.com.my ISNIN - JUMAAT 8:30 PAGI - 5:30 PETANG

Galeri

BADAL HAJI BUAT ISTERI

Galeri

SUNGAI BULOH, 9 Januari 2024 – Satu tamparan hebat buat Faisal Zainudin, 46, yang bekerja sebagai pemandu apabila isteri tercintanya menghembuskan nafas terakhir pada 29 September 2023 yang lalu.

Isterinya, Allahyarhamah Sulaiha Shaari, 43, yang menderita kanser usus tahap empat itu adalah merupakan seorang guru Bahasa Arab yang mengajar di SK Proton City, Tanjung Malim selama 10 tahun.

Meskipun masih berasa sedih dengan pemergian arwah isteri tiga bulan lalu, beliau bersyukur apabila menerima peninggalan terakhir daripada isterinya yang merupakan Ahli Skim 16 bernilai RM8,000.

“Selepas menjalani rawatan kimoterapi yang keenam, doktor memberitahu bahawa kansernya masih tiada sebarang perubahan sehingga memudaratkan lagi kesihatan dan doktor menyarankan saya untuk membawa beliau pulang ke rumah kerana badannya sudah tidak memberi tindak balas kepada sebarang ubat-ubatan,” jelas Faisal ketika dihubungi.

Beliau yang mengimbau kembali kenangan saat-saat terakhir bersama arwah menceritakan isterinya sempat meluangkan masa dan saling bermaafan sesama ahli keluarga sebelum beliau tiba-tiba hilang ingatan dan menghembuskan nafas yang terakhir keesokan harinya.

Faisal juga berkata, memandangkan mereka tidak mempunyai cahaya mata maka peninggalan terakhir daripada arwah ini akan digunakan sepenuhnya untuk arwah.

“Wang manfaat ini saya akan gunakan untuk mengerjakan Badal Haji buatnya serta mendirikan batu nisan.” ujarnya dengan sebak.

Dalam pada itu, Faisal meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada YGMB kerana segala urusan tuntutan manfaat dibantu sepenuhnya dan berharap agar YGMB akan terus komited dalam membantu menjaga kebajikan warga pendidik di seluruh negara.

Terdahulu, wang manfaat tersebut telah diserahkan kepadanya dalam satu majlis yang diadakan di SK Desa Aman, Sungai Buloh.